SKMM Padam 78% Daripada 3,877 Akaun Media Sosial Palsu Yang Ditemui

Media sosial perlu digunakan dengan bijak kerana budaya keterbukaan dalam bersuara tidak boleh disalah guna sehingga membawa kepada keburukan. Malah, setiap pengguna media sosial haruslah bersikap lebih matang dalam menggunakan platform tersebut. Malangnya segelintir daripada kita menyalahgunakan kemudahan yang ada ini dengan mencipta akaun palsu dengan tujuan tertentu.

Setakat September yang lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah berjaya mengesan 3,877 akaun media sosial yang digunakan untuk menyamar dan 78 peratus daripadanya telah pun dipadam.

Penggunaan akaun palsu ini tidak mendatangkan kebaikan malah merisaukan segelintir pengguna media sosial yang lain. Pemadaman akaun palsu yang dilaksakan ini juga telah mendapat kerjasama pihak penyedia platform media sosial selaras dengan terma dan syarat yang disediakan.

"Sebanyak 1,564 pautan dan kandungan yang dipercayai berunsurkan buli siber telah dikesan oleh SKMM dan 63 peratus daripadanya telah berjaya dipadam," ujar Gobind Singh Deo, Menteri Komunikasi dan Multimedia ketika disoal jawab dalam persidangan Dewan Rakyat.

Menurutnya lagi, kementerian sedang dalam usaha untuk mengkaji bagaimana undang-undang yang sedia ada ini mampu menangani masalah akaun palsu tersebut. Sikap kritis sebenarnya perlu ditunjukkan dengan pandangan yang membina untuk kemajuan negara bukannya merosakkan institusi penting.

Bagi menjawab persoalan bagaimana kerajaan akan mengambil tindakan untuk menangani masalah kebebasan berkongsi maklumat yang mempunyai unsur fitnah dan palsu ini, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia akan dipinda dalam masa terdekat.

Sumber: Bernama