SKMM Menasihatkan Pengguna Peranti Pintar Supaya Sentiasa Mengemas Kini Aplikasi-Aplikasi Yang Ada Di Dalam Peranti Mereka

Ia berikutan isu penggodaman yang berlaku terhadap aplikasi mesej individu berprofil tinggi.


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menasihatkan orang ramai supaya memastikan aplikasi-aplikasi dalam telefon mereka sentiasa dikemas kini.

Ia berikutan pihak mereka telah menerima aduan mengenai insiden pengambilalihan akses kepada akaun yang didaftarkan atas nombor telefon milik individu berprofil tinggi baru-baru ini.

Penggodam juga didakwa telah melakukan penyamaran sebagai individu yang berpengaruh itu dan cuba mempengaruhi mangsa untuk memuat turun dan memasang aplikasi pemesejan segera seperti Telegram dan Viber ke dalam sistem telefon mangsa.

Seterusnya, mangsa akan diminta untuk berkongsi kod pengesahan (verification code) yang dihantar kepada peranti telefon milik mangsa.

Perkongsian kod pengesahan tersebut akan membuka ruang kepada penggodam untuk mengambil alih akaun berkenaan, serta mengakses kandungan-kandungan yang terhubung-kait (synchronized) dengan akaun tersebut seperti senarai hubungan (contact list) dan maklumat peribadi lain.

Kesan buruk daripada itu, ia membolehkan penggodam menggunakan akaun yang dikompromi untuk membuat penyamaran dan memperdaya penerima dalam senarai tersebut dengan menghantar pesanan palsu.

Pesanan palsu itu pula boleh memberi impak negatif kepada pemilik nombor termasuk melibatkan identiti mereka dalam kegiatan jenayah.

Oleh itu, sekiranya anda menjadi mangsa penggodaman, segera laporkan kepada pihak polis untuk penelitian dan tindakan lanjut.