SKMM Menangani Aduan Masalah Capaian Internet Di 4 Lokasi Di Sabah





Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini memaklumkan, mereka telah bertindak menangani aduan masalah capaian internet yang dihadapi oleh penduduk di beberapa buah lokasi di Sabah.

Antara lokasi-lokasi yang menghadapi masalah capaian internet dan mendapat perhatian SKMM Sabah termasuklah di Sekolah Kebangsaan Desa Permai, Tongod, Kinabatangan, Pulau Sebatik, Tawau, Kg. Sungoi Darat, Kota Marudu dan Kampung Ulu Entabuan, Tenom.

SKMM memaklumkan pertemuan telah diadakan antara pihak SKMM Sabah dan pihak penyedia perkhidmatan yang terdiri daripada Celcom, Digi dan Maxis dengan pihak pengadu.

Berkaitan isu masalah capaian internet di Sekolah Kebangsaan Desa Permai, Tongod, Kinabatangan, SKMM memaklumkan kerja-kerja pembinaan menara baharu akan bermula pada awal tahun 2022 dan dijangka siap pada Disember 2022.

Sementara itu, servis menara sedia ada di Kg. Kuamut dalam pelaksanaan naik taraf kepada 4G di bawah pelan JENDELA yang djangka siap pada Disember 2021.

Isu capaian internet di Pulau Sebatik, Tawau pula SKMM memaklumkan sebuah menara komunikasi telah dibina di Kampung Tamang dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada awal bulan ini.

Pembinaan menara berkenaan akan memberikan perkhidmatan 4G oleh pihak Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile sekaligus mempertingkatkan capaian Internet di kawasan pengadu.

Ini juga akan membolehkan para penduduk di sekitar Kg. Tamang, SMK Wallace Bay dan penduduk sekitarnya untuk menjalankan aktiviti seharian dengan lancar.

Berkenaan isu capaian internet di Kg. Sungoi Darat, Kota Marudu, lokasi itu telah disenaraikan untuk disediakan perkhidmatan capaian jalur lebar melalui satelit Very Small Aperture Terminal (VSAT) dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Sabah yang dijangka akan dilaksanakan sekitar bulan Julai-September 2021.

Manakala isu capaian internet lemah di Kampung Ulu Entabuan, Tenom pula pertemuan antara pihak SKMM Keningau bersama wakil penyedia perkhidmatan dengan pengadu akan diadakan pada Khamis ini, 8 Julai.

Dalam kenyataan awal, SKMM memaklumkan kerja-kerja menaik taraf liputan 4G menara komunikasi di Skim Penempatan Getah Lagud Seberang di bawah JENDELA sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada Januari 2022 yang akan dapat meningkatkan kualiti liputan jalur lebar di Kampung Ulu Entabuan.

Sumber: SKMM



Berkaitan