SKMM Mempercepatkan Pelaksanaan Projek-Projek Infrastruktur Pelan Gentian Optik & Kesalinghubungan Negara

Sebanyak RM3 bilion diperuntukkan bagi melaksanakan inisiatif NFCP sepanjang tahun ini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini memaklumkan, enam inisiatif di bawah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara [National Fiberisation and Connectivity Plan (NFCP)] iaitu dari NFCP 1 hingga NFCP 6 akan bermula tahun ini.

NFCP bertujuan untuk mengurangkan jurang digital melalui peluasan liputan dan peningkatan kualiti perkhidmatan jalur lebar talian tetap dan mudah alih, selain menyediakan asas bagi rangkaian baharu untuk teknologi 5G.

Kesemua enam projek NFCP itu merangkumi penyediaan perkhidmatan selular awam dan jalur lebar talian tetap di seluruh negara dan mampu melonjakkan tahap sosio-ekonomi Rakyat.

NFCP 1 yang telah pun bermula pada 15 Februari 2020 lalu. Manakala NFCP 2 dalam proses penerimaan dokumen cadangan daripada pemegang-pemegang lesen yang layak bagi meluaskan liputan perkhidmatan selular awam di pelbagai negeri di seluruh negara.

Sementara NFCP 3 menyasarkan untuk menyediakan rangkaian gentian optik dan perkhidmatan jalur lebar dengan kelajuan sehingga 500Mbps di 100,000 premis komersial dan kediaman.

Inisiatif-inisiatif lain yang sepertimana yang dimaklumkan oleh SKMM bagi perancangan tahun ini adalah:

NFCP 4 – melibatkan penyediaan kesalinghubungan di 151 perkampungan Orang Asli. Permintaan untuk Cadangan untuk projek ini dijangka akan dikeluarkan pada suku kedua 2020.

NFCP 5 – untuk menaiktaraf 377,360 pengguna rangkaian jalur lebar tembaga (copper) kepada rangkaian jalur lebar gentian optik dan dijangka akan bermula pada suku pertama, 2020. Telekom Malaysia Berhad (TM) akan melaksanakan projek ini dengan menggunakan sumbangan PPS oleh TM sendiri selaras dengan Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Pemberian Perkhidmatan Sejagat) 2002.

NFCP 6 – melibatkan pemasangan kemudahan rangkaian dan pelaksanaan perkhidmatan rangkaian di kira-kira 740 lokasi di seluruh negara untuk penyediaan perkhidmatan selular awam. Permintaan untuk Cadangan bagi projek ini dijangka akan dikeluarkan pada suku keempat 2020.

NFCP dijangkan akan merangsang pelaburan dan inovasi dalam industri-industri berkaitan di samping mewujudkan hampir 20,000 peluang pekerjaan baharu seperti yang dianggarkan oleh SKMM BAGI sepanjang tempoh pelaksanaan lima tahun bermula dari tahun 2019.