SKMM Dan Syarikat Telekomunikasi Bersama Memudahkan Capaian Internet Untuk Pelajar Dan B40

Bagi meringankan beban rakyat ketika mengharungi tempoh mencabar berikutan langkah kawalan COVID-19 yang terpaksa dilaksanakan oleh kerajaan, SKMM memaklumkan sektor telekomunikasi memberikan komitmen teguh untuk bersama-sama memudahkan capaian Internet untuk golongan pelajar dan B40.

Antara inisiatif-inisiatif yang sudah dan sedang dilaksanakan adalah seperti pemberian data percuma 1GB sehari yang telah dimulakan sejak April 2020 kini dilanjutkan sehingga hujung April 2021.

Syarikat-syarikat telekomunikasi utama juga menawarkan pas data 15GB dengan harga serendah RM20 sebulan.

Malah syarikat-syarikat telekomunikasi itu juga sebelum ini telah menyediakan kelas-kelas tuisyen dalam talian secara percuma menerusi program yang dianjurkan termasuklah Celcom (Tuisyen Rakyat), Digi (Jom Tuisyen), Maxis (e-Kelas) dan Telekom Malaysia (TM) (I-Learn Ace).

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyatakan bahawa mereka bersama syarikat-syarikat telekomunikasi telah berganding bahu dalam usaha merapatkan jurang digital dalam kalangan rakyat yang kurang berkemampuan.

Pemasangan wifi percuma dan melanjutkan tempoh operasi Pusat Internet Komuniti (PIK) dari jam 9.00 pagi hingga 9.00 malam di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara  adalah antara inisiatif yang telah dilaksanakan.

Sumber: SKMM