SKMM Bakal Adakan Pameran Teknologi 5G, Dibuka Kepada Umum Pada 20 Dan 21 April Ini

Sepertimana yang semua sudah maklum, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah mengumumkan projek rintis rangkaian generasi kelima, 5G, yang akan dilangsungkan di Putrajaya dan Cyberjaya April ini.

Untuk memberikan pendedahan yang lebih baik kepada umum, pihak SKMM bakal mengadakan pameran teknologi 5G di Putrajaya pada 18 April manakala dibuka kepada orang ramai pada 20 dan 21 April 2019 ini.

Pameran tersebut bakal mengetengahkan penggunaan 5G dalam pelbagai lapangan seperti penjagaan kesihatan, media dan hiburan, bandar pintar, automotif, pengilangan, keselamatan awam, pertanian, serta pendidikan.

Sebahagian teknologi yang akan dipertontonkan adalah diagnosis dan perundingan penjagaan kesihatan jarak jauh, e-sukan dengan pelbagai paparan 4K, kenderaan tanpa pemandu dan pelbagai lagi.

Antara syarikat yang terlibat dalam acara pameran termasuklah Celcom, Digi, Ericsson, Huawei, Malaysia Automotive Robotics IoT Institute (MARii), Maxis, Nokia, Telekom Malaysia, U-Mobile, Universiti Teknologi Malaysia dan ZTE.

Selain memberikan pendedahan kepada pengguna tentang rangkaian generasi kelima ini, ini juga menjadikan Malaysia sebagai salah satu negara terawal di Asia yang memperlihatkan teknologi mudah alih berkenaan.

Sumber: SKMM