Sistem Imbasan Wajah Galaxy S9 Mungkin Boleh Tewaskan Face ID

Tidak sampai sebulan sahaja lagi telefon pintar flagship dari Samsung bakal dilancarkan dan sedikit demi sedikit beberapa ciri peranti tersebut mula muncul menjadi buah mulut.

Dari bentuk rekaan luar hinggalah kepada tetapan dwi-kamera, kedua-dua model Galaxy S9 dan S9+ heboh diperkatakan. Terkini, satu lagi ciri yang dilihat bakal menjadikan siri Galaxy S kali ini sebagai penanda aras adalah sistem imbasan wajah yang dikatakan lebih baik daripada FaceID milik Apple.

Satu fungsi sekuriti dikenali sebagai Intelligent Scan dipercayai telah dibangunkan untuk Galaxy S 9 dan S9+ dimana ia menggabungkan imbasan wajah serta imbasan iris.

Berdasarkan video, sistem sekuriti ini mampu berfungsi walaupun dalam keadaan kurang pencahayaan. Umum mengetahui bahawa imbasan iris ini lebih selamat berbanding pengecaman wajah yang kadang-kala boleh dipintas dengan mudah.

Namun dengan gabungan kedua-duanya, ia pasti memberikan satu pengalaman yang berlainan dan ada pihak yang berpendapat ia akan lebih baik daripada Face ID.

https://www.youtube.com/watch?v=TS68C4MMogQ

Sumber: Android Police