vivo hari ini telah melancarkan siri telefon mercu mereka iaitu vivo X60. 2 model yang telah dilancarkan vivo X60 dan juga model lebih berkuasa iaitu vivo X60 Pro.
Siri ini membawakan rekaan tidak jauh berbeza dengan siri vivo X50 sebelum ini terutamanya pada modul kamera mereka.
vivo X60 Pro
vivo X60 Pro hadir dengan skrin 6.56 inci AMOLED Full HD+ dengan sokongan kadar segar semula 120Hz. Skrinnya juga turut menyokong piawaian HDR10, HDR10+ dan gamut warna DCI-P3.
Ia hadir dengan cip terbaharu dari Exynos 1080 berserta memori 12GB RAM dan storan dalaman 256GB berasaskan UFS 3.1.
Sebanyak 4 lensa kamera yang dimuatkan pada bahagian belakang yang menyertakan teknologi dari ZEISS. Lensa utamanya adalah dari sensor SONY IMX 598 48MP, 13MP telefoto, 13MP sudut lebar/makro dan juga 8MP periskop zum 5x. Manakala kamera swafoto pula adalah dari 32MP.
Melalui kerjasama dengan ZEISS, imej yang dihasilkan dari keempat-empat lensa mempunyai stail pengimejan sama dari ZEISS.
Naik taraf perkakas diberikan terhadap lensa dengan menyertakan lapisan nano kristalin yang mengurangkan pantulan cahaya dan juga meningkatkan penembusan cahaya yang dilaluinya.
Terdapat juga fungsi imej ZEISS Biotar Portrait Style yang memberikan bokeh unik mengelilingi subjek.
Kamera utama juga diberikan naik taraf gimbal generasi kedua yang membantu mengurangkan gegaran ketika menangkap gambar dan juga merakam video.
Untuk bateri, kapasiti sebanyak 4,200mAh disertakan dengan pengecasan 33W melalui USB-C.
Siri vivo X60 juga turut memperkenalkan antaramuka OriginOS yang baharu menggantikan FuntouchOS yang digunakan pada telefon vivo selama ini.
OriginOS membawakan rekaan lebih segar dan minimal dan memfokuskan kepada rekaan grid untuk akses tetapan dan info pantas.
Harga pasaran vivo X60 Pro adalah bermula 4498 (~RM2,789) dengan 2 pilihan warna.
vivo X60
vivo X60 pula hadir dengan skrin sama 6.56 inci AMOLED berserta resolusi Full HD+. Perbezaan utama adalah dari segi kamera dan juga pilihan memori.
Kamera yang digunakan adalah 48MP utama, 13MP sudut lebar, dan 13MP telefoto. Ia masih lagi menggunakan ZEISS dan juga kamera gimbal namun tiada 8MP periskop seperti pada X60 Pro.
Cip yang digunakan adalah Exynos 1080 namun pilihan memori adalah 8GB/12GB manakala storan dalaman pula 128GB/256GB UFS 3.1.
Bateri juga mempunyai kapasiti sama dengan X60 Pro iaitu 4,300mAh dengan pengecasan pantas 33W.
Melalui vivo X60, sebanyak 3 pilihan warna ditawarkan dengan harga jualan bermula ¥3498 (~RM2,169).
Menurut laman rasmi vivo China, siri vivo X60 ini akan mula dijual bermula Januari 2021 di pasaran negara tersebut. Untuk pasaran Malaysia, masih belum diketahui tarikh pengenalannya untuk pasaran tempatan.