vivo hari ini kembali dengan melancarkan dua telefon andalan baharu buat pasaran tempatan, iaitu vivo X60 dan vivo X60 Pro.
Dari segi rekaan, kedua-duanya tampil hampir sama dengan siri X50 terdahulu. Apa yang membezakannya pada kali ini semestinya sistem kamera dari Zeiss.
Memandangkan siri vivo ini memfokuskan fotografi, kita akan lihat dahulu spesifikasi kamera yang ditawarkan bagi kedua-duanya.
X60 dan X60 Pro masing-masing dilengkapi tiga lensa pada bahagian belakang serta menggunakan teknologi dari Zeiss. Lensa utama adalah 48MP, 13MP telefoto, 13MP sudut lebar/makro serta lensa swafoto 32MP.
Kedua-duanya turut mempunyai skrin 6.56 inci AMOLED FHD+ dengan kadar penyegaran 120Hz. Ia juga hadir sokongan HDR10+ dan gamut warna DCI-P3.
Telefon ini dikuasakan cip pemproses Snapdragon 870 yang mana berbeza dari pasaran China yang menggunakan Exynos 1080.
Konfigurasi memori pada kedua-dua telefon ini juga adalah sama iaitu 12GB RAM serta storan dalaman 256GB.
Melengkapkan telefon, ia dimuatkan bateri berkapasiti 4200mAh untuk X60 Pro sementara 4300mAh untuk varian biasa yang masing-masing menyokong pengecasan pantas 33W.
Tambahan lagi, jika ada yang tertanya tentang sistem operasi yang digunakan, telefon ini menjalankan Funtouch OS 11.1 yang berasaskan Android 11.
Menerusi siri vivo X60 dan vivo X60 Pro, dua pilihan warna diberikan iaitu Shimmer Blue dan Midnight Black.
Harga rasmi untuk pasaran Malaysia adalah bermula RM2699 untuk vivo X60. Manakala vivo X60 Pro dijual dengan harga RM3299.
Pra-tempahan bagi siri vivo baharu boleh dilakukan bermula hari ini sehingga 26 Mac melalui kedai dalam talian vivo stores, Lazada, Shopee dan rakan pengedar yang sah.