Siri Reno 4 Dilancarkan Di Malaysia, Harga Bermula Dari RM1699

Siri Reno datang lagi untuk pasaran tempatan setelah tiga bulan yang lalu memperkenalkan Reno3. Kini mengemaskini penawaran siri itu bagi pasaran tempatan, OPPO Malaysia mengumumkan secara rasmi OPPO Reno4 dan OPPO Reno4 Pro.
OPPO Reno4 Pro

Menawarkan spesifikasi paling tinggi dalam siri Reno kali ini, ia tampil dengan paparan AMOLED berukuran 6.55 inci dan kadar segar semula 90Hz. Kamera swafoto 32MP (f/2.4) diletakkan pada rekaan berlubang dipenjuru kiri.

Sementara itu rakaman belakang pula digalas oleh sistem kuad kamera diketuai 48MP (f/1.7), 8MP (f/2.2) ultra lebar, 2MP (f/2.4) makro dan 2MP (f/2.4) mono. Storan dalaman yang tersedia adalah 256GB dan disertakan sokongan kad MikroSD.



Bateri 4000mAh dibekalkan pada peranti dan ia menyokong pengecasan 65W SuperVOOC 2.0. Dua pilihan warna untuk versi Pro adalah Starry Night dan Silky White.
OPPO Reno4

Merupakan versi standard, ia hadir dengan paparan AMOLED 6.43 inci tetapi mempunyai dwi kamera swafoto iaitu 32MP (f/2.4) dan tambah kamera 2MP.

Selain perbezaan pada bahagian paparan dan kamera hadapan, OPPO Reno4 hanya ditawarkan dengan storan 128GB sahaja tetapi menyokong kad MikroSD sehingga 256GB.

Bahagian belakang masih mengekalkan kombinasi 4 kamera yang sama seperti OPPO Reno4 Pro. Model ini juga dimuatkan dengan kapasiti bateri lebih besar sedikit iaitu 4015mAh dan namun hanya menyokong pengecasan pantas 30W VOOC 4.0. Dua pilihan warna untuk versi standard adalah Space Black dan Galactic Blue.
Persamaan spesifikasi

Kedua-dua model ini berkongsi spesifikasi yang sama seperti cip pemprosesan Snapdragon 720GRAM 8GB, kuad kamera belakang, USB-C, bicu audio 3.5mm serta menjalankan sistem operasi ColorOS 7.2.
Harga jualan

Siri OPPO Reno4 boleh mula dipra-tempah hari ini, 3 Ogos sehingga 7 Ogos 2020. Harga untuk versi standard adalah RM1699 sementara versi Pro pula dijual pada nilai RM2399.

Pra-tempah juga akan diiringi dengan sejumlah tawaran percuma menarik berupa fon telinga OPPO Encor W31 TWS (RM259), 1 tahun jaminan perlindungan skrin (RM139) dan lanjutan 1 tahun jaminan (RM119).

Kedua-dua model ini akan mula dijual pada 8 Ogos 2020 dan ia tersedia di semua Kedai Konsep OPPO, kedai rasmi e-dagang OPPO, kedai pengedar rasmi OPPO, rakan telco dan rakan kedai rangkaian OPPO.

https://www.youtube.com/watch?v=12nEB-8iLpM

Kolaborasi My OPPO x KLOOK

Eksklusif untuk Reno4 Pro, ahli ‘Aplikasi My OPPO’ akan menerima RM100 baucar diskaun KLOOK terhad untuk 2,000 penebusan pertama. Setelah ditebus, 3 ahli bertuah juga berpeluang untuk memenangi Percutian Pulau 3 Hari 2 Malam di Taaras Beach & Spa Resort dengan Pengalaman Penerbangan ATR.

Manakala 10 ahli bertuah sebagai naib juara akan menikmati Penginapan Hotel (1 malam) untuk 2 orang dan tiket masuk ke Taman Tema Sunway Lagoon. OPPO juga ingin mengingatkan semua untuk memastikan keselamatan diri dan keluarga ketika menikmati hadiah perjalanan ini.