Siri Redmi Note 8 Dapat Ahli Baru, Ditambah Dengan Sokongan NFC

Dalam keterujaan peminat menanti pelancaran Xiaomi Mi Note 10, pengeluar peranti pintar itu turut sama menampilkan satu lagi penambahan kepada siri sedia ada, Redmi Note 8T.



Secara zahirnya ia adalah model yang sama seperti Redmi Note 8 tetapi menerusi pengenalan terbaru ini, sokongan ciri NFC telah disediakan. Memperkuatkan lagi penawaran adalah sokongan pengecas berdaya 18W dibekalkan di dalam kotak.



Lain-lain spesifikasi masih sama iaitu Snapdragon 665, skrin paparan 6.3 inci dengan resolusi sokongan Full HD+ yang mempunyai takuk didiami kamera 13MP.

Bahagian belakang masih mengekalkan tetapan kuad kamera 48MP dipadankan dengan lensa ultra lebar 8MP, lensa makro 2MP dan 2MP bagi kedalaman bokeh.

Sistem memori Redmi Note 8T pula diberikan pilihan antara RAM 3GB atau 4GB dengan storan menjangkau 128GB yang juga boleh diluaskan lagi dengan penggunaan kad MikroSD.



Bakal menjalankan sistem operasi MIUI 10 dengan Android Pie 9, ia ditawarkan dalam tiga warna iaitu Starcape Blue, Moonlight White dan Moonshadow Grey. Harga untuk pasaran Eropah pula adalah bermula dari €179 (~RM820) sehingga €249 (~RM1140) berbeza mengikut konfigurasi memori.