Siri realme X3 Akan Dilancarkan Di China 25 Mei Ini

Model pengganti kepada realme X2 Pro, realme X3 kini telah mula memasuki fasa pelancarannya. Hari ini, realme telah mengesahkan pengenalan siri realme X3 akan diadakan pada 25 Mei 2020 bertempat di China. Syarikat itu juga turut mendedahkan bahawa siri terbaharu ini akan dilancarkan bersama beberapa produk lain.



Melalui poster yang dimuat naik di akaun Weibo, ia memaparkan gambaran produk yang bakal dilancarkan iaitu peranti pintar, powerbank, dan juga fon telinga TWS. Dikatakan realme juga akan melancarkan TV pada acara tersebut.

Realme May 25 launch event

Siri realme X3 dijangka akan dibarisi 3 model - realme X3, realme X3 SuperZoom, dan realme X3 Pro. Untuk realme X3 Pro SuperZoom, mengikut khabar angin, ia akan memuatkan lensa periskop dengan zum digital sehingga 60X. Peranti itu juga akan dijana Snapdragon 855+ dengan bateri berkapasiti 4,200mAh.

Untuk realme X3 Pro, ini merupakan model pengganti sebenar kepada realme X2 Pro sebelum ini. Ia akan menggunakan Snapdragon 865 dan juga dikhabarkan akan dilancarkan sebagai model peranti gaming.

Lain-lain spesifikasi masih lagi tidak diketahui buat masa ini. Jadi, betul atau tidak khabar angin ini, kita tunggu sahajalah pelancarannya pada tarikh 25 Mei nanti.

Sumber: Weibo