Siri HONOR 20 Dikhabarkan Hadir Dengan Kamera F/1.4, Lensa Bukaan Terbesar Bagi Telefon Pintar

Terdahulu, HONOR berteka-teki dengan peminat dalam mempromosikan tarikh pelancaran membabitkan siri HONOR 20. Ditulis dalam bentuk soalan matematik '444 + 4 x 4 x 4 + (4+4)/4 + 44/4', hasil jawapan akan memberikan anda angka '521' yang merujuk kepada 21 Mei (21/5) dan ia akan dilangsungkan di London.



Hangat dibualkan ketika ini, bermacam-macam spekulasi timbul memperkatakan tentang tetapan kamera yang bakal hadir pada siri terbaru itu. Antara yang kuat sekali diperkatakan adalah tetapan kamera menyamai Huawei P30 Pro.

Namun berdasarkan bocoran imej terbaru, kamera belakang HONOR 20 Pro tampil berbeza berbanding Huawei P30 Pro dan ia terdiri daripada 4 kamera belakang.

Kapsyen: Spesifikasi kamera HONOR 20 Pro | SlashLeaks


Kelihatan lensa utama 48MP (f/1.4) dari sensor Sony IMX 586 digunakan bersama-sama sokongan OIS. Rakaman sudut lebar pula menggunakan lensa 16MP (f2.2), telefoto 8MP (f/2.4) dan sebuah lensa makro 2MP (f/2.4).

ApertureĀ f/1.4 bagi kamera utama juga dilihat selari dengan khabar angin sebelum ini yang menyatakan, HONOR 20 Pro bakal dimuatkan dengan lensa bukaan terbesar yang ada pada telefon pintar sedia ada.

Jikalau apa yang diperkatakan ini benar, ia menandakan siri HONOR 20 Pro mampu menghasilkan rakaman malam atau pencahayaan rendah yang terbaik dan berupaya berada sebaris dengan peranti flagship yang lain.

Bagi model HONOR 20 pula tampil dengan tetapan kamera lebih kurang sama iaitu 48MP (f/1.8) Sony IMX 586, 16MP (f/2.2) sudut lebar, 2MP (f/2.4) untuk kesan kedalaman dan 2MP (f/2.4) lensa makro.

Kapsyen: Spesifikasi kamera HONOR 20 | SlashLeaks


Ramalan harga jualan siri HONOR 20 juga sudah berlegar dimana variasi RAM 6GB dengan storan 128GB diletakkan pada nilai 2999 yuan (~RM 1844) sementara variasi paling atas adalah RAM 8GB dengan memori 256GB pada harga 3799 yuan (~RM 2336). Sedikit sebanyak, ia meletakkan siri HONOR 20 sebagai peranti alternatif kepada siri P30 dari Huawei.

Selain daripada itu, HONOR 20 Pro turut diramal tampil dengan skrin OLED 6.1 inci bersama-sama rekaan 'punch hole' bagi menempatkan kamera swafoto. Menguasakan dari dalam pastinya cip Kirin 980 dan pilihan RAM antara 6GB serta 8GB dipadankan dengan storan sehingga 256GB.

Kapsyen: Imej didakwa HONOR 20 Pro | Digital Trends


Bagi menjana kuasa peranti, difahamkan bateri yang digunapakai berkapasiti 3650mAh dan menyokong pengecasan pantas 22.5W.

Kapsyen: HONOR 20 Pro


Melihat kepada laporan serta bocoran spesifikasi menjelang hari pelancaran siri HONOR 20, ia sudah cukup menggambarkan sebuah peranti berspesifikasi mantap, terutama sekali dibahagia kamera bakal muncul tidak lama lagi. Jadi untuk itu, sama-sama kita nantikan acara pelancaran yang hanya berbaki dua minggu sahaja lagi.