Siap Sedia Untuk Miliki Taman Tema Dinasour Anda Sendiri Tidak Lama Lagi

Industri perfileman global pada tahun ini akan diwarnai dengan pelbagai filem-filem pecah panggung atau blockbuster untuk tontonan umum. Sebelum ini kita telah disajikan dengan aksi-aksi pahlawan Avengers dalam Infinity Wars serta Deadpool 2 dan pada bulan Jun ini, filem yang memaparkan aksi penjaga dinasour yang ditunggu-tunggu, Jurassic World akan memasuki panggung.

Jurassic World: Fallen Kingdoms dijangka akan menjadi antara filem terhangat pada tahun ini disamping dua siri Marvel yang disebutkan tadi. Filem yang dibintangi oleh Chris Patt ini telah berjaya menduduki tempat keempat dalam senarai filem yang mendapat kutipan tertinggi pada peringkat global melalui siri Jurassic World yang terdahulu.

Bagaimana jika kami katakan anda bakal diberi peluang untuk membangunkan taman tema dinasour anda yang tersendiri, seperti yang anda saksikan dalam filem ini? Ya, peluang tersebut akan hadir kepada anda tidak lama lagi menerusi permainan video, Jurassic World Evolution.

https://www.youtube.com/watch?v=reBwjqOhu-g

Permainan video yang bertemakan simulasi perniagaan ini telah dibangunkan oleh syarikat Frontier Developments yang memang terkenal dengan permainan video simulasi sebegini. Antara permainan video yang pernah mereka hasilkan ialah RollerCoaster Tycoon dan Zoo Tycoon.



Melalui permainan ini, pemain akan mempunyai kuasa sepenuhnya untuk menetapkan bagaimana taman tema mereka beroperasi. Bermula dengan pilihan dinasour yang ingin dibela hinggalah kepada ciri-ciri keselamatan pada taman tema tersebut.



Jurassic World Evolution ini akan ke pasaran bermula pada 12 Jun ini dan akan hadir ke platform PC, Xbox One dan Playstation 4. Dan bagi peminat filem Jurassic World serta penggemar permainan simulasi, jangan lepaskan peluang anda untuk mencuba permainan ini nanti.

Anda boleh layari laman sesawang rasmi permainan ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang Jurassic World Evolution.

Sumber

Berkaitan