Siap Sedia Untuk Bayar Cukai Digital Google Sebanyak 6% Bermula 1 Januari 2020

Bermula 1 Januari 2020, Google akan mula mengenakan cukai digital sebanyak 6% untuk servis berbayar mereka di Malaysia. Sebelum ini juga dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Malaysia, Lim Guan Eng, servis-servis atas talian ini akan mula dicukaikan bermula pada tarikh tersebut.

Sebagai permulaan, Google telah terlebih dahulu menghantar notis melalui emel mengenai perubahan tersebut. Berdasarkan emel itu, jumlah bayaran cukai terhadap pembelian akan terpapar pada bahagian "Transactions" di bawah "Billing & Payments". Pada invois juga akan menunjukkkan jumlah cukai yang dikenakan.

Kapsyen: Emel yang dihantar oleh Google


Emel yang diterima oleh pengguna akan sedikit berbeza mengikut kepada konteks kepenggunaan masing-masing. Ada yang menerima emel untuk Google Ads seperti kami dan ada juga untuk akaun G Suite Google. Selain servis seperti Ads dan G Suite, Google mungkin juga bakal mengenakan cukai digital terhadap servis lain seperti YouTube Premium dan juga YouTube Music.

Dan sudah semestinya akan lebih banyak lagi servis lain selain Google yang akan mula mengenakan cukai pada 1 Januari 2020 nanti. Servis popular seperti Netflix, Spotify, Apple Music, Tidal, iFlix, dan banyak lagi antara yang terlintas difikiran untuk menerima nasib cukai yang sama.

Jika anda mahu membaca dengan lebih jelas lagi mengenai undang-undang dan peraturan cukai digital ini, anda boleh membacanya di laman rasmi MySST di bawah bahagian Digital Service. Di sini, terdapat panduan jenis perkhidmatan digital yang akan dikenakan cukai iaitu:

  1. Perisian, aplikasi dan permainan video

  2. Muzik, e-book dan filem

  3. Iklan dan platform atas talian

  4. Enjin carian dan media sosial

  5. Pengkalan dan pembekal data

  6. Telekomunikasi berasaskan internet

  7. Latihan dan kursus atas talian,

  8. Dan lain-lain (Langganan majalah, kandungan digital dan sebagainya)


Sumber: Panduan Cukai Malaysia