Shopee Catat 11 Juta Pesanan Pada Festival 11.11 Yang Lalu, Adakan Satu Lagi Tawaran Istimewa

Pada Ahad yang lepas, festival jualan murah besar-besaran atas talian, Festival 11.11 telah berlangsung. Peniaga di gedung atas talian utama seperti Shopee, Lazada dan 11Street berlumba-lumba menawarkan potongan harga kepada produk-produk mereka.

Pengguna juga menggunakan kesempatan ini untuk mendapatkan pelbagai jenis barangan dari kelengkapan rumah hinggalah gajet pilihan dengan harga yang lebih murah. Maka tidak hairanlah beberapa perkhidmatan bayaran atas talian tergendala pada hari berkenaan.



Bercakap mengenainya, Shopee baru-baru ini telah menyampaikan ucapan penghargaan kepada semua pembeli di gedung mereka pada Festival 11.11 yang lalu. Mereka mengesahkan bahawa 11 juta belian telah dicatatkan, sekaligus menjadi rekod baru bagi mereka, serta lebih tinggi jualan semasa festival sama tahun lalu.

Dalam satu kiriman siaran media yang dikirimkan kepada kami, Shopee memberitahu bahawa lebih 90% daripada transaksi yang dilakukan adalah melalui aplikasi mudah alih mereka. Tambah mereka, permainan Shopee Shake dalam aplikasi berkenaan juga semakin popular apabila dimainkan sebanyak 4 juta kali di Malaysia.

Sebagai tanda terima kasih, Shopee akan mengadakan 11.11 Thank You Sale selama tiga hari iaitu bermula 12 November hingga 14 November ini. Untuk mereka yang berminat, anda boleh mula membeli belah menerusi aplikasi mudah alih Shopee atau terus ke laman sesawang mereka.

 

Sumber: Shopee