Serangan Siber Keatas Dell, Pengguna Digalakkan Tukar Kata Laluan

Syarikat perkomputeran terkemuka, Dell dilaporkan telah mengalami serangan siber pada 9 November lepas.

Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan semalam, mereka berjaya mengenalpasti serangan tersebut dan bertindak pantas untuk menghalangnya. Tiada produk atau perkhidmatan Dell terjejas.

Siasatan awal menunjukkan pengodam menyasarkan nama, alamat e-mel dan kata laluan pengguna. Walaubagaimanapun, ia tidak melibatkan maklumat sensitif pengguna seperti kad kredit.

Dell juga menyatakan terdapat kebarangkalian penyerang itu berjaya memperoleh informasi yang tersimpan disalah satu server mereka. Namun setakat ini, difahamkan masih tiada bukti yang konklusif informasi tersebut berjaya diambil.

Sebagai langkah berjaga-jaga, Dell menyarankan pengguna supaya menukar kata laluan yang digunakan pada akaun Dell.com. Jika kata laluan sama digunakan pada akaun yang lain, ia juga digalakkan untuk ditukar.

Anda boleh mengikuti perkembangan seterusnya mengenai isu ini di laman rasmi Dell.

Sumber: Dell