Serangan Ransomware Mengakibatkan Seorang Pesakit Di Hospital Jerman Meninggal Dunia

Dilaporkan sebagai kematian pertama yang berkait dengan serangan siber, seorang pesakit wanita meninggal dunia akibat dari serangan perisian tebus yang berlaku di hospital di Jerman.

Perisian hasad tersebut telah menawan 30 pelayan dalam University Hospital Düsseldorf yang mengakibatkan kegawatan sistem dan kesukaran untuk mengakses data.

Seperti namanya perisian tebus, serangan tersebut telah menyulitkan data-data penting pesakit hospital dan menjadikannya sebagai tawanan. Hospital kemudiannya perlu membayar bayaran yang tinggi jika mahu menebus semula data-data tersebut.

Akibat dari serangan itu, seorang pesakit perempuan kritikal yang memerlukan rawatan segera terpaksa dihantar ke hospital berlainan sejauh 30km akibat daripada kesukaran mengakses data.

Namun begitu, kelewatan rawatan dan juga masa yang tidak mengizinkan, ia telah menjadi punca kepada kematian pesakit wanita berkenaan.

Hospital sememangnya merupakan mangsa mudah untuk senario kes perisian tebus disebabkan sistem mereka tidak boleh mengalami waktu terganggu yang lama.

Disebabkan itu, mereka kemungkinan besar boleh jadi untuk membayar wang tebusan untuk mengembalikan perkhidmatan hospital semula.

Buat masa ini, pihak berkuasa Jerman masih menyiasat punca kes kematian dan juga dalang di sebalik serangan siber ini.

Sumber: Security Week

Berkaitan