Seorang Bekas Pekerja Yahoo Mengaku Bersalah Menggodam Lebih 6 Ribu Pemilik Akaun Yahoo

Tertuduh juga mengaku menggodam pengguna storan awan iCloud, Facebook, Dropbox dan Gmail semata-mata bagi mencuri kandungan lucah milik mangsanya.


Seorang bekeas pekerja Yahoo dilaporkan telah mengaku bersalah ke atas dakwaan yang dikenakan ke atasnya. Berdasarkan siasatan oleh pihak FBI, tertuduh bernama Reyes Daniel Ruiz, berumur 34 tahun didapati bersalah kerana menggodam lebih daripada 6 ribu pemilik akaun Yahoo sebelum ini.

Malah tertuduh juga turut mengaku bahawa dia melakukan aktiviti penggodaman ke atas servis-servis lain termasuklah iCloud, Facebook, Dropbox dan Gmail. Motif penggodaman pula adalah bagi mengakses dan mencuri kandungan lucah seperti foto-foto privasi yang dimiliki mangsanya dan disimpan di dalam servis-servis tersebut.

Tertuduh pernah bekerja bersama Yahoo lebih daripada 10 tahun sebelum meninggalkannya tahun lalu. Ketika di Yahoo, dia bertugas di bahagian perkhidmatan Yahoo Mail. Sepanjang tempoh itulah dia menyalin sebahagian besar foto dan video mangsanya seterusnya menyimpan ia di rumah.

Tertuduh bakal berdepan hukuman maksimum penjara selama 5 tahun bagi setiap komputer yang dicerobohinya serta denda sebanyak USD250,000 termasuk denda-denda yang lain.

Kes pendengaran bagi pendakwaan ini dijadualkan akan berlangsung pada Februari tahun hadapan. Walaubagaimanapun, dia dilepaskan dengan bon sementara perbicaraannya bermula.

Ketika ini. tertuduh bekerja di sebuah firma teknologi di Lembah Silikon yang khusus dalam penyelesaian SSO (single sign-on).

Sumber: ZDNet