Senarai Aplikasi Keselamatan Peribadi Yang Perlu Dimuat Turun Oleh Setiap Wanita

Wanita adalah golongan yang sepatutnya dilindungi oleh kaum lelaki. Namun, lelaki yang dipercayai tidak akan dapat berada di sisi wanita sepanjang masa. Maka, mereka akan terdedah dengan bahaya jenayah seperti diculik, rogol mahupun diserang atau dipukul.

Menurut laporan statistik PDRM, sebanyak lebih 2,000 kes keganasan terhadap wanita telah dilaporkan sepanjang tahun 2018. Antara jenayah yang paling sering melanda golongan ini ialah rogol iaitu sebanyak 506 kes.

Angka berkenaan mungkin akan dapat dikurangkan sekiranya golongan wanita mengambil beberapa langkah berjaga-jaga. Antara yang boleh dilakukan ialah memuat turun aplikasi keselamatan peribadi pada peranti milik mereka.

Aplikasi yang boleh dimuat turun adalah seperti berikut:

1. Life360 Family Locator - GPS Tracker ( Android   iOS)

Aplikasi ini membolehkan anda membentuk satu "bulatan" keselamatan bersama orang yang tersayang yang dipanggil sebagai "Circles".

Dengannya, setiap orang daripada anda akan dapat mengesan kedudukan ahli Circles yang lain tanpa memerlukan mereka menekan walau satu butang.

Kapsyen: Life360


Ia sekaligus membolehkan anda mengesan kedudukan mereka jika anda mengesyaki sesuatu yang buruk telah berlaku, atau sekepas mereka tidak membalas kiriman mesej atau telefon yang dibuat.

Selain itu, ia juga boleh mengesan sekiranya ahli Circles terlibat dalam kemalangan serta membuat panggilan kepada unit kecemasan secara terus dari telefon milik mereka.

2. SOS Emergency App (Android)

Aplikasi yang dibangunkan oleh imcodebased.com ini membolehkan pengguna untuk membuat panggilan secara pantas, termasuk tanpa perlu membuka telefon.

Kapsyen: imcodebased.com


Anda boleh tetapkan apa yang perlu dibuat bagi mengaktifkan panggilan kecemasan, antaranya ialah dengan menekan butang kuasa beberapa kali, menekan butang SOSmate pada bar notifikasi atau yang terapung di skrin utama.

Pengguna juga boleh memainkan bunyi wisel atau siren polis melalui aplikasi ini bagi tujuan menakutkan penjenayah yang berada berhampiran mereka.

3. bSafe - Personal Safety App (Android   iOS)

Melalui aplikasi ini, anda akan dapat mengaktifkan butang kecemasan SOS hanya menggunakan suara walaupun telefon tidak berada ditangan anda.

Kapsyen: Mobile Software AS


Selain itu, bSafe juga mempunyai fungsi "Follow Me" di mana anda boleh meminta sahabat atau keluarga anda mengikuti lokasi anda melalui peta sekiranya mengesyaki anda sedang diekori atau dalam bahaya.

bSafe adalah salah satu aplikasi keselamatan peribadi yang terbaik dipasaran. Namun, untuk menggunakan keseluruhan fungsi yang ada pada aplikasi ini, anda perlu membayar sedikit wang untuk melanggan pakej premiumnya.

4. SaveME 999 Polis (Android    iOS)

Aplikasi ini telah dibangunkan oleh pihak Malaysia Emergency Response Service(MERS 999) bagi membolehkan pengguna menghubungi pihak polis dengan pantas.

Pengguna hanya perlu menekan butang "Click here" dalam aplikasi berkenaan bagi disambungkan kepada pihak polis.

Kapsyen: MERS 999


Mereka seterusnya akan mengesan kedudukan pengguna melalui GPS bagi mengambil tindakan sewajarnya.

Anda juga boleh menetapkan alamat rumah kediaman bagi membolehkan tindakan lebih pantas dapat diambil sekiranya kecemasan berlaku di kediaman anda. Pengguna boleh melakukannya dengan pergi ke halaman "Preset Location".

Namun harus diingat, kesemua aplikasi di atas bergantung kepada sambungan GPS yang ada pada peranti anda.

Maka, semua pengguna dinasihatkan untuk mengaktifkan fungsi GPS sebelum menggunakan aplikasi-aplikasi ini.

Jangan lupa untuk kongsikan bersama insan yang tersayang.

 

Sumber: Family Locator   SOS Emergency   bSafe   SaveME 999 Polis

Berkaitan