Senarai Aksesori OnePlus 6T Diumumkan Termasuk Dua Penyelesaian Bagi Masalah Ketiadaan Bicu Audio

Seperti tahun-tahun sebelumnya, OnePlus akan memperkenalkan dua buah peranti berspesifikasi tinggi mereka tahun ini. Setelah melancarkan OnePlus 6 pada Mei lalu, kini OnePlus 6T pula bakal menjelma pada pertengahan bulan ini.

Sehubungan itu, beberapa spesifikasi dan ciri yang ada pada peranti berkenaan telah pun didedahkan sedikit demi sedikit. Antaranya ialah pengimbas cap jari pada dalam skrin, bateri berkapasiti lebih besar serta ketiadaan bicu audio 3.5mm.

Bercakap mengenai bicu audio, OnePlus telah menyediakan penyelesaian bagi masalah tersebut bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan OnePlus 6T. Ia berikutan pendedahan senarai dan harga aksesori bagi peranti tersebut untuk pasaran Eropah baru-baru ini.



Melalui senarai di atas, dapat kita lihat pada barangan keenam dan ketujuh merupakan fon telinga Bullets dengan sambungan USB-C berharga €19.95(~RM 95.64) serta penyesuai atau dongle USB-C ke bicu 3.5mm yang berharga €8.95(~RM 42.90).

Memandangkan harga bagi kedua-dua aksesori ini tidaklah terlalu mahal, ia sekaligus sedikit sebanyak melegakan bagi mereka yang bercadang untuk mendapatkan OnePlus 6T kelak.

Bagaimanapun, setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada OnePlus 6T nanti akan didatangkan dengan dongle dari dalam kotak ataupun tidak. OnePlus 6T dijangka akan dilancarkan pada 17 Oktober ini.

 

Sumber