Selepas 3 Hari Bermasalah, Sistem KLIA Hari Ini Sudah Kembali Pulih

Keadaan di KLIA semakin bertambah baik. Kesesakan berkurangan.


Selepas sejak Rabu (21 Ogos) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berdepan dengan situasi kelam kabut akibat masalah sistem, hari ini sistem tersebut dilaporkan telah kembali pulih.

Berdasarkan tinjauan oleh pihak Bernama, keadaan KLIA kini semakin bertambah baik. Ia susualan tindakan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menanganinya dengan menggantikan peralatan rangkaian selepas dikenal pasti menjadi punca kepada permasalahan itu.

Gangguan sistem sejak malam Rabu lalu menjejaskan fungsi utama termasuk sambungan WiFi, sistem paparan maklumat penerbangan, kaunter daftar masuk dan sistem pengendalian bagasi.

Gangguan sistem tersebut telah merencatkan pelbagai proses kendalian di lapangan tersebut termasuklah menyebabkan kelewatan penerbangan, pengeluaran pas penerbangan, pengurusan bagasi dan pergerakan penumpang-penumpang ke pesawat.

Sekaligus menyebabkan keadaan para penumpang yang menunggu penerbangan di KLIA menjadi kelam kabut dan mengalami kelewatan.

Walaubagaimanapun, jurucakap Malaysia Airports berkata mereka masih memantau kestabilan sistem sejak penggantian peralatan itu bagi memastikan insiden sama tidak lagi berulang.