Selain Samsung, 6 Lagi Pengeluar Telefon Pintar Sudah Mengesahkan Kehadiran Telefon Pintar Boleh Lipat Mereka

Juga beberapa pengeluar lain yang turut dikhabarkan sedang membangunkan model telefon pintar boleh lipat.


Samsung telah mengumumkan bahawa telefon pintar boleh lipat mereka, Galaxy Fold akan dilancarkan pada September ini. Pengumuman tersebut dibuat selepas 3 bulan Galaxy Fold ditunda pelancarannya di mana ia sepatutnya dibuat pada April lalu.

Kehadiran semula Galaxy Fold telah turut dihangatkan kembali persaingan telefon pintar boleh lipat dari pengeluar-pengeluar lain yang telah turut mengesahkan kehadiran telefon pintar boleh lipat mereka.

Berikut adalah pengeluar-pengeluar yang sudah pun mengesahkan kehadiran model telefon pintar boleh lipat mereka:-

1. Royole FlexPai


Kapsyen: Royole FlexPai dilengkapi dengan paparan AMOLED bersaiz 7.8".


Sebelum kemunculan Galaxy Fold, telefon pintar boleh lipat pertama Royole FlexPai sebenarnya telah lebih dulu hadir dipasaran. Ia pertama kali diumumkan pada Oktober 2018 lalu.

Malah anda juga sudah boleh membelinya menerusi laman sesawang rasmi Royole. Harga telefon pintar boleh lipat Royole FlexPai adalah berharga dari USD1,318.00

2. Huawei Mate X


Kapsyen: Mate X dilengkapi dengan teknologi capaian 5G, pengecasan pantas 55W dan paparan bersaiz 8".


Tidak ketinggalan dalam persaingan kategori baru peranti pintar ini adalah syarikat gergasi teknologi dari China, Huawei.

Huawei telah pun mengumumkan secara rasminya versi telefon pintar boleh lipat mereka yang dikenali sebagai Huawei Mate X di MWC 2019 lalu.

Pada asalnya, Mate X sepatutnya dilancarkan pada bulan Mei lalu. Walaubagaimanapun, selepas pihak Samsung berdepan dengan masalah Galaxy Fold dan menundakan pelancarannya, Huawei turut memutuskan untuk menangguhkan pelancaran Mate X.

Kini selepas Samsung mengumumkan akan melancarkan semula Galaxy Fold pada September ini, Huawei telah turut sama dilaporkan akan melancarkan telefon pintar lipat mereka pada bulan yang sama.

Huawei Mate X dikatakan akan berharga sekitar USD2,600 hingga USD3,600, bergantung pada pilihan spesifikasi peranti.

3. Nubia Alpha




Nubia Alpha yang dibangunkan oleh pengeluar peranti pintar dari China, ZTE adalah lebih menyerupai jam pintar berbanding sebuah telefon pintar.

Tetapi tidak sepertimana rekaan jam pintar Apple Watch ataupun Samsung Galaxy Watch, Nubia Alpha adalah sebuah telefon pintar yang mengambil konsep peranti dengan skrin yang boleh dilipat.

Ia dilengkapi dengan skrin boleh lipat bersaiz 4.01", 1GB RAM, storan berkapasiti 8GB serta kamera 5 Megapiksel yang mampu merakam video selama 10 saat.

Telefon pintar ini boleh membuat panggilan, menerima mesej dan menyokong aplikasi kesihatan. Walaubagaimanapun ia tidak menyokong aplikasi sosial termasuklah Instagram, Google Maps mahupun aplikasi pelayar sesawang.

Nubia Alpha berharga USD449 dan sudah pun boleh dibeli menerusi laman sesawang rasmi Nubia.

4. Motorola RAZR 2019


Kapsyen: Kredit: Slashleaks


Pertama kali menyedari Motorola memfailkan paten rekaan telefon pintar boleh lipat mereka adalah pada Disember 2017 lalu. Sejak itu beberapa spekulasi muncul di mana mereka dijangka akan mengembalikan semula model Razr dengan ciri skrin boleh lipat.

Motorola yang kini telah dimiliki oleh Lenovo dilaporkan merancang untuk memperkenalkan peranti pinta boleh lipat mereka pada tahun ini juga.

Kapsyen: Lukisan skematik yang didaftarkan Motorola di laman World Intellectual Property Organization (WIPO) pada DIsember 2017.


Walaubagaimanapun, setakat ini belum ada sebarang info lanjut tentang spesifikasi dan bila ia akan dilancarkan.

5. TCL




TCL yang merupakan syarikat pengeluar televisyen popular dari China turut tidak ketinggalan membangunkan versi telefon pintar boleh lipat mereka sendiri.

Telfon pintar boleh lipat TCL ini dilengkapi dengan skrin AMOLED serta teknologi yang dipanggil sebagai DragonHinge. Ia pertama kali didedahkan kepada umum di MWC 2019 lalu.

Ia hanya dijangka akan dilancarkan secara rasmi pada tahun hadapan.

6. Xiaomi


https://www.youtube.com/watch?v=Fy2GuTyEfPk

Sebuah lagi pengeluar telefon pintar popular dari China yang turut membangunkan versi telefon pintar boleh lipat mereka adalah Xiaomi.

Telefon pintar tersebut yang dikenali sebagai Dual Flex atau Mix Flex pertama kali didedahkan kepada umum pada Januari 2019 lalu di laman sosial Weibo oleh pengasas bersama Xiaomi, Bin Lin.

Namun begitu tiada sebarang info spesifikasi atau tarikh bila ia akan diperkenalkan secara rasmi kepada umum sehingga kini.

 Lain-lain...


Selain daripada syarikat-syarikat yang dinayatakan di atas, beberapa pengeluar telefon pintar lain juga telah turut dikhabarkan sedang merancang untuk membangunkan model telefon pintar mereka sendiri.

Ia termasuklah Apple, Google, Lenovo, SONY dan LG.