Sejauh Mana Port Pengecas USB Di Tempat Awam Selamat Untuk Digunakan?

Bayangkan telefon pintar atau tablet anda kekurangan bateri ketika berada di luar, tiada powerbank, dan akan bertambah lagi parah apabila anda tertinggal kabel pengecas di rumah. Pastinya anda akan mencari jalan alternatif dengan menggunakan pengecas peranti yang tersedia di tempat awam dengan berharap dapat mengecasnya sebentar.



Mungkin anda rasa tidak ada salahnya jika anda gunakan saja perkhidmatan stesen mengecas percuma yang ditawarkan di lapangan terbang misalnya, atau meminjam sementara kabel daripada orang lain. Nampak seperti tidak ada apa yang berbahaya kerana ia ditawarkan secara percuma. Siapa yang mampu menolak lebih-lebih lagi disaat peranti hampir kehabisan "nyawa".



Masalah utama yang tidak menggalakkan anda untuk mengecas di stesen awam ialah kerana bicu USB itu tidak selalunya selamat untuk digunakan, malah pakar keselamatan sebelum ini telah memberi amaran bahawa anda berisiko meletakkan telefon dalam keadaan yang berbahaya.

Penyelidik di makmal Kaspersky pernah menyatakan bahawa mungkin sahaja pencipta atau pemasangnya boleh memasang aplikasi pihak ketiga di bicu USB seperti virus, terus ke telefon pintar menerusi sambungan kabel USB ke komputer dalam masa tiga minit.



Jika ia dikompromikan, penggodam boleh mempunyai akses tanpa had untuk melihat maklumat anda, termasuklah e-mel, teks, foto dan juga kenalan.

Peranti anda tidak sepatutnya menerima data dari bicu USB tanpa kebenaran anda dan itulah sebabnya di iPhone, penggunanya pasti akan menerima notifikasi "Trust This Computer?" apabila mereka memasang kabel tersebut pada peranti yang lainnya.



Namun, adakah ini masih menjadi masalah untuk model telefon baru? Chris Hoffman dari How-To Geek melaporkan bahawa iPhone semasa dan telefon Android biasanya memerlukan kebenaran anda untuk berkongsi data supaya risiko adalah minimum. Jika anda masih ragu-ragu, dapatkanlah kemas kini keselamatan terkini untuk peranti anda.

Anda seharusnya mengambil langkah berjaga-jaga apabila menggunakan stesen pengecasan percuma. Jika tidak yakin, pertimbangkanlah untuk mengecas powerbank sahaja, dan bukan peranti pintar anda. Dengan kata lain, jika boleh, elak untuk menyambungkan telefon anda terus ke mana-mana bicu USB di tempat awam.

 

Berkaitan