Sejarah Tentang Dwi Kamera: Bagaimana Ia Berfungsi Dan Apakah Perbezaannya?

Kita dapat lihat kebelakangan ini rekaan tetapan dwi-kamera menjadi pilihan syarikat pembuat telefon pintar terutamanya pada telefon flagship mereka.



Tetapan dua kamera ini bermula dari LG Optimus 3D dan HTC Evo 3D pada tahun 2011. Kedua-dua telefon pintar ini (dan ada juga yang lain) menggunakan kanta lekap untuk membolehkan peranti ini mengambil video 3D dan gambar 3D.

Peranti ini menggunakan teknik yang sama digunakan oleh kamera 3D biasa, menggunakan kedua-dua kanta untuk mewujudkan kedalaman imej. Ianya disokong dengan paparan 3D untuk melihat imej-imej tersebut, tanpa perlukan penggunaan cermin mata 3D.



Kemudian muncul pula HTC M8 yang diperkenalkan pada tahun 2014 yang boleh saya katakan merupakan model pertama membawa teknologi 2 sensor kamera yang digunakan sehingga hari ini.

Dengan sensor imej utama 4-Megapiksel UltraPixel dan satu lagi sensor 2-Megapiksel digunakan untuk mewujudkan kedalaman imej kemudian ianya diproses menjadi satu, lalu menghasilkan gambar 'bokeh'.



Diikuti dengan LG G5. Tetapi mereka membawa kelainan dengan memuatkan sensor utama 16-Megapiksel dan satu lagi sensor wide angle 8-Megapiksel.

Kedua-dua sensor ini menghasilkan gambar dengan pemandangan luas iaitu pada 135-darjah. Ianya turut dimuatkan kedalam model LG G6 yang seterusnya pada tahun ini dengan sensor utama 13-Megapiksel yang menghasilkan gambar 125-darjah.



Pada tahun 2016, Huawei menggemparkan dunia telefon pintar dengan memperkenalkan Huawei P9. Berlainan dengan apa yang dibawakan oleh LG dan HTC, Huawei mengetengahkan dua sensor kamera yang memfokuskan pada butiran monokrom.

Huawei P9 beroperasi dengan satu sensor mengambil warna RGB dan sensor kedua megambil butiran monokrom. Kedua-dua kamera adalah 12 megapixel. Ianya turut sama diikuti oleh model Honor 8 dan Huawei P10 dengan beberapa penambahbaikkan.

Dengan kehadiran dwi-kamera dari P9 ini, maka bermulalah syarikat telefon pintar yang lain berebut-rebut mempamerkan rekaan dwi-kamera.



Ciri dwi-kamera ini turut sama diikuti oleh iPhone 7 Plus. Tetapi Apple membawakan perbezaan di antara peranti dwi-kamera yang lain.

Kedua-dua sensor kamera iPhone 7 Plus adalah sebesar 12-megapixel dan kedua-duanya menawarkan penstabilan imej optik, tetapi dengan panjang fokus yang berbeza.

Kamera pertama menawarkan zoom 23mm, yang agak luas - tidak terlalu luas seperti LG, tetapi lebih luas daripada kamera iPhone lama.

Kamera kedua mampu dizoom pada 56mm. Ini bermakna gambar dihasilkan kelihatan lebih dekat melalui lensa ini. Menurut Apple, ciri ini dapat memastikan pengguna zoom imej tanpa merosakkan kualitinya.

Baru-baru ini kita juga diperkenalkan dengan model baru OnePlus 5 yang turut sama menggunakan tetapan dwi-kamera dengan dengan ciri zoom dan bokeh yang sama. Satu sensor dengan 16-megapixel dan satu lagi pada 20-megapixel.



Projek Tango. Kepada yang belum pernah dengar tentang projek Tango, ianya merupakan teknologi yang membawakan bersama fungsi AR.

Lenovo Phab 2 Pro dan Asus ZenFone AR merupakan dua peranti pertama yang mengetangahkan ciri Tanggo ini. Telefon ini akan digunakan untuk aplikasi seperti pemetaan ruang 3D .

Ianya berfungsi dengan membenarkan pengguna mengimbas ruang dapur contohnya dan kemudian pengguna boleh menambah rekaan kabinet, meja makan dan sebagainya dalam bentuk AR.



Pada bulan Februari lepas, Oppo telah memperkenalkan pada dunia satu prototaip dengan teknologi dwi-kamera periskop yang membawakan ciri 5 X zoom optikal.

Oppo menggunakan rekaan dwi-kamera dengan memantulkan telefoto 90 darjah menggunakan cermin seperti periskop untuk menerima cahaya dalam satu baris.

Dengan jajaran lensa sentiasa beroperasi pada 90 darjah, ia dapat menghasilkan zoom optik yang lebih padu. Ianya juga didakwa dapat menjimatkan ruang dalam menghasilkan peranti yang lebih nipis.

Oppo R11 dan R11 Plus dilancarkan pada bulan ini pula merupakan peranti Oppo pertama yang memuatkan sistem dwi-kamera. Mereka tidak menampilkan rekaan periskop ini yang di tampilkan pada MWC yang lalu.

Oppo sebaliknya memuatkan sensor 16-Megapiksel wide angle untuk kamera utama dan satu lagi 20-Megapiksel lensa telefoto bersama 2X zoom optikal dan pemprosesan imej yang dikuasakan oleh Qualcomm Spectra ISP.



Samsung setakat ini masih belum lagi memasuki dalam gelanggang dwi-kamera. Walaupun Galaxy S8 tidak mengetangahkan rekaan dwi-kamera, ianya tetap diangkap sebagai kamera telefon pintar terbaik.

Khabar angin baru-baru ini mengatakan Samsung Note 8 akan menjadi peranti pertama dengan tetapan dwi-kamera. Dikatakan Note 8 akan menggunakan nisbah paparan 18.5:9 dengan penstabilan imej optik di kedua-dua belah kamera dan susunan telefoto yang menawarkan 3X zoom optik.