Sebuah Kolej Di Bandar New York Telah Diserang Ransomware

Penggodam meminta bayaran sebanyak $2 Juta dalam bentuk matawang bitcoin bagi membebaskan komputer yang terjejas.


Sebuah kolej yang terletak di bandar New York melaporkan bahawa komputer yang terdapat di kolej mereka telah dijangkiti dengan ransomware.

Kolej Monroe yang terjejas dengan serangan tersebut memaklumkan kesemua laman sesawang serta sistem e-mel mereka telah terjejas menyebabkan keseluruhan sistem komputer kolej tersebut lumpuh.

Penggodam yang berjaya menyerang komputer kolej tersebut juga didakwa telah meminta bayaran dalam bentuk matawang bitcoin sebanyak $2 juta daripada pihak kolej itu bagi membolehkan penyerang membebaskan komputer mereka dari serangan yang dilakukannya.

Walaubagaimanapun, setakat ini Kolej Monroe tidak menyatakan sama ada pihak mereka akan membayar terhadap tuntutan tersebut.

Menurut jurucakap kolej itu, apa yang menjadi keutamaan mereka ketika ini adalah untuk memahami sejauh mana pencerobohan itu memberi kesan ke atas operasi kolej mereka.

Selain itu adalah penting mereka memastikan proses untuk mendapatkan semula segala data dan salinan serta  menjalankan sistem komputer beroperasi seperti sedia kala dilakukan dengan cara yang paling selamat.

Buat masa ini, para pelajar mereka yang seramai 8,000 orang itu masih meneruskan aktiviti kelas seperti biasa.

Pihak FBI dan penyelidik keselamatan komputer telah menasihatkan mangsa yang diserang komputer mereka dengan ransomware supaya tidak menuruti tuntutan penggodam.

Ini kerana tiada jaminan bahawa penggodam tersebut akan membebaskan komputer yang terjejas walaupun selepas mereka telah menerima bayaran daripada mangsa mereka.

Sumber: PCMag