Sebanyak 274 Unit Android Box Tidak Diperakui Dirampas SKMM

Pada penghujung tahun lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ada membuat pengumuman berkenaan larangan menjual peranti yang tidak mempunyai label SIRIM mahupun SKMM.

Larangan tersebut melibatkan barangan seperti peranti televisyen digital (IDTTV), protokol internet televisyen (IPTV), peranti mudah alih seperti telefon pintar dan juga tablet.



Berdasarkan laporan yang dikeluarkan suruhanjaya itu pada Jumaat lalu, pihak SKMM telah merampas sejumlah 274 unit peranti Android Box yang tidak diperakui menerusi serbuan yang dibuat pada tiga premis berlokasi di Petaling Jaya.

Difahamkan serbuan dibuat selepas pihak suruhanjaya menerima aduan daripada orang ramai dan nilai serbuan dianggarkan berjumlah RM80,000.

Kes akan disiasat dibawah Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.

Difahamkan pemilik serta pekerja premis yang diserbu telah diambil keterangan untuk membantu siasatan lanjut.

Sumber: SKMM