Satu Lagi Telefon Pintar Dilaporkan Meletup Ketika Sedang Dalam Pengecasan

Sebelum ini, Samsung Galaxy Note 7 pernah dikritik hebat kerana peranti itu dilaporkan kerap meletup sekaligus menjadikannya model paling gagal dalam siri Galaxy Note sehingga kini. Namun, hakikatnya banyak lagi kejadian peranti meletup yang tidak kita ketahui kerana ia tidak dihangatkan seperti Galaxy Note 7.

Sebagai contoh, baru-baru ini sebuah peranti model Xiaomi Mi A1 dikatakan telah meletup ketika sedang dicas semula. Kejadian berkenaan dikatakan berlaku di China. Dan menurut laporan GizmoChina, ini bukanlah kali pertama peranti jenama Xiaomi dilaporkan meletup di negara berkenaan.



Xiaomi Mi A1 tersebut sedang dicas bersebelahan dengan pemiliknya yang sedang tidur. Beliau ternyata bernasib baik kerana peranti tersebut diletakkan di dalam kawasan terlindung, lantas tidak menyebabkan sebarang kecederaan kepadanya.

Sebelum ini, sebuah model Samsung Galaxy Note 9 dilaporkan turut meletup di dalam beg tangan seorang wanita. Mangsa, Diane Chung dari New York telah pun mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak Samsung.



Dua kejadian yang melibatkan dua jenama berbeza ini membuktikan bahawa kejadian telefon pintar meletup ini boleh terjadi kepada mana-mana peranti tanpa mengira jenama.

Perkara yang penting ialah kita sebagai pengguna perlu sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga seperti tidak mengecas peranti semasa tidur, gunakan alat pengecasan asli atau berhenti menggunakan peranti jika ia panas.

 

Sumber