Sarawak Guna Kaedah Digital Untuk Sambutan Acara Peringkat Negeri

Selari dengan saranan Kementerian Kesihatan dalam mengawal penularan pandemik Covid-19, Sarawak akan menggunakan kaedah virtual dan digital bagi penganjuran acara utama di peringkat negeri.

Menteri Di Jabatan Ketua Menteri Datuk Talip Zulpilip berkata, rancangan khas 'Dirgahayu Tuanku' pada 8 Jun akan menjadi acara pertama menggunakan kaedah berkenaan. Rancangan tersebut bersempena sambutan Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong bagi peringkat negeri.



Tambahnya, sambutan kali ini berbeza dan unik kerana buat julung kalinya keseluruhan program diadakan secara digital. Namun, kesemua segmen tersebut adalah rakaman awal yang disunting dan diolah secara digital.

Acara sambutan itu akan dibahagikan kepada enam segmen. Antaranya termasuk persembahan tarian tradisional Nopeng Sarawak, tayangan video khas berjudul Monarki, persembahan lukisan Wajah Kesayangan Hamba, coretan Surat untuk Tuanku dan lagu khas Tuanku Teristimewa.

Rancangan khas sempena sambutan itu akan disiarkan secara langsung menerusi TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 10.00 malam, 8 Jun ini.

Sumber: BERNAMA