Ulasan Samsung UV Sterilizer: Kotak Yang Membersihkan Peranti Pintar

Dengan pandemik global covid-19 yang sedang melanda sekarang, ramai yang sudah tahu akan kepentingan memakai pelitup muka dan membasuh tangan dengan sabun atau menggunakan sanitiser.

Namun, tidak ramai yang mengambil kisah terhadap kebersihan peranti pintar mereka kerana kemungkinan peranti tersebut terdapat kuman dan bakteria yang melekat semasa menggunakannya di luar.

Pada kali ini kami akan memfokuskan satu peranti terbaru daripada Samsung iaitu Samsung UV Sterilizer.


Rekaan

Melihat kepada peranti ini, ia berbentuk kotak dan diperbuat daripada plastik. Walaupun saiznya agak besar tapi ia ringan apabila dipegang kerana beratnya adalah 369g.

Rekaannya sangat minimalist kerana luarannya hanya berawarna putih pada keseluruhan peranti ini. Pada bahagian hadapan, terdapat satu butang kuasa dan penunjuk LED.

Di bahagian belakang pula, terdapat satu lubang pengecasan yang menggunakan USB-C.



Peranti ini terdapat dua lampu UV pada bahagian kanan dan kiri di dalam serta pada bahagian tengah terdapat fungsi pengecasan tanpa wayar.
Ciri-ciri Samsung UV Sterilizer

Peranti ini dapat dikatakan mampu membunuh 99% kuman dan bakteria yang berada pada peranti pintar anda dalam masa 10 minit.

Selain itu, anda juga boleh mensterilkan cermin mata, jam tangan atau jam pintar.

Menariknya, ia juga dapat mengecas peranti pintar semasa digunakan. Selain peranti pintar, anda juga boleh mengecas peranti lain seperti earbuds. Namun, peranti tersebut haruslah menyokong Qi iaitu pengecasan tanpa wayar.

Perlu diingatkan bahawa pengecasan tanpa wayar ini menggunakan sambungan USB-C dan hanya menyokong 10W sahaja. Semua peranti daripada jenama yang berlainan juga boleh digunakan.
Cara-cara Menggunakannya


  1. Masukkan kabel USB-C di bahagian belakang peranti

  2. Letakkan peranti pintar ke dalam UV Sterilizer dan tutup peranti tersebut

  3. Kemudian tekan butang kuasa di bahagian depan peranti dan lampu LED akan menyala berwarna hijau serta akan dengar bunyi

  4. Biarkan selama 10 minit dan lampu LED akan hilang serta dua bunyi beep menunjukkan pensterilan sudah selesai


Jika anda membuka penutup peranti semasa pensterilan, ia akan berhenti berfungsi kerana pensterilan hanya berlaku jika anda menutupnya. Namun jika anda hanya mahu mengecas peranti pintar, ia boleh dilakukan dalam keadaan penutup dibuka.
Apa di dalam kotak



  1. Peranti Samsung UV Sterilizer

  2. Buku panduan

  3. Kabel USB-C


Kesimpulan

Pada pendapat kami, Samsung UV Sterilizer ini merupakan satu produk yang baik berikutan dengan situasi semasa dan sesuai buat golongan yang mementingkan kebersihan.

Namun, terdapat sedikit kekurangan bagi peranti ini. Ia hanya boleh mensterilkan peranti yang bersaiz kecil hinggalah kepada peranti seperti Galaxy Note 20 Ultra tetapi ia tidak dapat mensterilkan peranti seperti tablet kerana saiz tablet agak besar.

Kemudian, kami tidak pasti jika ia benar-benar membasmi bakteria dan kuman sehingga 99% selepas 10 minit digunakan seperti yang dinyatakan oleh pengeluar.

Jika anda berminat untuk mendapatkan peranti ini, ia dijual pada tanda harga RM 299 di laman rasmi Samsung Malaysia.