Samsung Umum Pembikinan Program TV Khas Hanya Untuk VR

Teknologi realiti maya atau virtual reality (VR) semakin mendapat tempat dalam kehidupan seharian pada hari ini. Teknologi yang pada mulanya lebih popular digunakan untuk bermain permainan video seperti Sega Genesis VR dan Sony Playstation VR ini kini semakin giat dihasilkan oleh penggiat industri teknologi seperti Google dan Samsung. Walaubagaimanapun, peranti VR ini boleh dikatakan masih lagi mahal dan tidak ramai yang mampu memilikinya.

Atas sebab tersebut, syarikat Samsung baru-baru ini telah mengambil inisiatif tersendiri bagi mempromosikan teknologi ini dengan mengumumkan sebuah set rancangan TV yang dihasilkan khas untuk ditonton menggunakan peranti VR. Set rancangan yang diberi nama Pilot Season itu akan mengandungi enam pilihan program buat peringkat permulaan ini.



Antara pilihan yang terdapat dalam set rancangan tersebut ialah &Design, Bro Bots dan The Interpretation of Dreams. Menurut sedikit maklumat yang disampaikan oleh Samsung melalui laman sesawang mereka, &Design merupakan sebuah rancangan dokumentari yang mengkaji kaitan antara reka bentuk dengan aspek kehidupan manusia. Dalam pada itu, Bro Bots pula adalah sebuah rancangan komedi animasi manakala The Interpretation of Dreams mengisahkan tentang kes berkaitan Sigmund Freud.



Samsung bukan sahaja menyiarkan serta mempromosikan set rancangan ini, malah mereka turut memberi dana untuk mana-mana penggiat seni yang menghasilkan program televisyen VR untuk Pilot Season ini. Selain itu, Samsung turut memberi kebenaran untuk mereka menggunakan teknologi kamera professional Samsung 360 Round mereka yang mampu merakam video pada 360 darjah.

Sumber