Samsung Umum Exynos 880, Cip Kelas Pertengahan Dengan Modem 5G

Perlumbaan kelas pertengahan sememangnya sengit dan rata-rata peranti dari kelas tersebut dikuasakan oleh cip Mediatek serta Qualcomm. Dilihat tidak mahu ketinggalan dalam persaingan tersebut, Samsung kini mengumumkan Exynos 880.

Merupakan cip yang dibangunkan dari proses 8nm FinFET, Exynos 880 adalah cip 8 teras terdiri daripada dua teras Cortex A77 (2GHz) dan enam teras Cortex A55 (1.8GHz). Bagi pemprosesan grafik ia menggunakan Mali G76.

Bagi kemampuan kamera pula, ia disediakan dengan pemproses isyarat imej yang menyokong sehingga 64MP bagi sistem kamera tunggal atau 20MP+20MP untuk tetapan dwi kamera. Rakaman video pada resolusi Ultra HD boleh dibuat pada kadar 30fps.



Selain itu, Exynos 880 juga menyokong penggunaan memori LPDDR4X dan pilihan storan antara UFS 2.1 atau eMMC 5.1. Untuk akses ke rangkaian 5G, cip pertengahan ini menyediakan sambungan melalui sub-6GHz.

Bagi makluman semua, Exynos 880 sudahpun menguasakan peranti ketika ini yang mana model pertama adalah vivo Y70s. Dijangkakan lebih banyak lagi model kelas pertengahan akan dikuasakan cip ini pada bulan-bulan akan datang.

Sumber: Samsung