Samsung Sound On Display Boleh Bantu Buang Takuk Dan Bezel Tebal

Musuh utama skrin paparan yang luas adalah kehadiran takuk dan bezel tebal yang berfungsi sebagai ruangan meletakkan pelbagai sensor dan sistem pembesar suara.

Bermacam-macam inovasi menarik dari pengeluar sudah kita lihat seperti rekaan skrin bertakuk, kamera yang tersembunyi dan juga skrin yang boleh disorong tarik.

Selain itu, pengeluar seperti Vivo dan Xiaomi pula mengetengahkan teknologi pembesar suara didalam paparan. Xiaomi memulakannya pada Mi Mix yang pertama dimana mereka menggunakan pembesar suara piezoelectric dibawah skrin paparan.



Kemudiannya kita boleh lihat kaedah sama digunakan Vivo pada model Nex melalui teknologi Screen SoundCasting. Dari segi pengalamana penggunaan, pada awalnya kami merasakan sedikit janggal kerana getaran yang terhasil pada skrin, tetapi lama kelamaan ia akan menjadi perkara biasa.



Oktober lepas semasa Forum OLED, Samsung telah diberitakan mahu membina telefon pintar dengan skrin yang dihuni dengan ciri pengimbas cap jari, kamera dan juga pembesar suara yang berada dibawah paparan.

Ia menjadikan Samsung sebagai pengeluar ketiga yang bakal menggunakan teknik tersebut dalam memberikan ruang yang lebih untuk skrin paparan.



Oleh kerana ia dibangunkan oleh Samsung Display dan bukannya Samsung Mobile, beberapa pihak meramalkan ia akan hadir ke peranti lain yang menggunakan skrin AMOLED dari syarikat itu.

Skrin itu juga dijangka akan hadir pada Galaxy S10 yang mana pelancarannya dikhabarkan pada suku pertama tahun hadapan.