Samsung S9+ Diuji Di Geekbench; Butiran CPU Dan RAM Didedahkan

Peranti telefon pintar Samsung yang ditunggu-tunggu, Galaxy S9 telah memunculkan diri di laman sesawang penarafan, Geekbench. Sehubungan itu, butiran seperti cip pemprosesan dan ruang memori juga turut terlihat mengenai peranti tersebut.

Peranti yang menggunakan nombor model SM-G965U1 yang dipercayai untuk model Galaxy S9+ telah mendapat mata sebanyak 2,422 untuk teras tunggal dan 8,351 mata untuk pelbagai teras. Ini merupakan peningkatan mata berbanding peranti S8 yang masing-masing mendapat mata sebanyak 1,956 dan 6,433 untuk teras tunggal dan pelbagai teras.



 

 

Galaxy S9+ dilihat menggunakan cip terbaru dari Qualcomm, Snapdragon 845 serta ruang memori RAM sebesar 6GB. Ciri-ciri lain pula adalah Samsung akan mengekalkan  rekaan paparan Infinity untuk peranti terbaru ini dan menambah kapasiti bateri sekurang-kurangnya lebih dari 3,000 mAh yang terdapat di Galaxy S8.



Belum ada tarikh rasmi dan di mana Samsung akan melancarkan peranti terbaru mereka. Ada yang mengatakan yang ia akan dilancarkan di CES 2018 yang akan berlangsung pada 9 Januari tahun depan. Apa-apa pun kita nantikan buah tangan terbaru dari Samsung nanti.