Samsung Perkenal Galaxy A54 Dan A34 Dengan Ketahanan Bateri Lebih Dua Hari

Samsung secara rasmi kini mengumumkan dua telefon pintar baharu dalam siri Galaxy A, iaitu Galaxy A54 dan Galaxy A34.

Galaxy A54




Menyentuh spesifikasi, Galaxy A54 5G dimuatkan paparan Super AMOLED berukuran 6.4-inci FHD+ dengan 120Hz kadar segar semula. Peranti ini digandingkan 8GB RAM dan 256GB storan dalaman dengan sokongan penambahan storan sehingga 1TB melalui kad microSD.



Beralih ke bahagian kamera, sejumlah tiga lensa ditempatkan di bahagian belakang peranti dengan 50MP utama, 12MP ultra-lebar serta 5MP makro. Sementara itu, kamera swafoto 32MP diletakkan pada paparan berlubang.

Dikatakan mampu bertahan sehingga lebih dua hari, Galaxy A54 diisi dengan kapasiti bateri sebesar 5,000mAh.

Antara lainnya, peranti ini menjalankan antaramuka OneUI 5.1 berasaskan Android 13 serta dilengkapi sistem keselamatan Samsung Knox. Terdapat empat pilihan warna ditawarkan iaitu Awesome Lime, Awesome Graphite, Awesome Violet dan Awesome White.

Galaxy A34




Galaxy A34 dilengkapi paparan Super AMOLED dengan saiz 6.6-inci FHD+ bersama kadar segar semula 120Hz. Sama seperti Galaxy A54, peranti ini juga hadir dengan  8GB RAM dan 256GB storan yang turut menyokong penambahan sehingga 1TB melalui kad microSD.

Ia juga didatangkan dengan kapasiti bateri 5,000mAh serta antaramuka One UI 5.1 berasaskan Android 13.



Bagaimanapun, terdapat sedikit perbezaan dari segi penawaran kamera. Galaxy A34 dimuatkan tetapan tiga lensa dengan 48MP utama, 8MP ultra-lebar dan 5MP makro serta 13MP kamera swafoto pada paparan bertakuk.



Galaxy A34 tersedia dengan empat pilihan warna termasuk Awesome Lime, Awesome Graphite, Awesome Violet, dan Awesome Silver.

Harga dan ketersediaan untuk pasaran Malaysia


Buat masa ini, Samsung Malaysia belum lagi mengumumkan harga serta tarikh jualan Galaxy A54 dan Galaxy A34 untuk pasaran tempatan.

Sumber: Samsung Newsroom