Samsung Patenkan Rekaan Telefon Lutsinar

Dalam dunia telefon pintar ketika ini, kita sudah sedia melihat pelbagai tawaran peranti yang hadir dengan pelbagai rekaan. Pengeluar sentiasa mempunyai idea dalam penghasilan produk dan ia kemudiannya ke fasa didaftarkan pada badan-badan tertentu untuk tujuan pempatenan, hak milik dan sebagainya.

Jika hari ini melancarkan telefon pintar dengan rekaan boleh lipat untuk pasaran tempatan, Samsung turut dilaporkan sudah mempunyai paten bagi telefon dengan rekaan lutsinar.



Menurut LetsGoDigital, paten tersebut dibuat Samsung kepada United States Patent and Trademark Office (USTPO) dan World Intellectual Property Office (WIPO) pada Januari yang lalu. Rekaan paten itu dihasilkan semula oleh LetsGoDigital dan hasilnya seperti dibawah.



Idea tersebut menyatakan paparan OLED akan digunakan dimana ia mempunyai ciri rendah penggunaan tenaga, kecerahan yang tinggi serta lebih responsif berbanding paparan LCD.

Difahamkan bahawa, skrin akan dilengkapi dengan panel paparan lutsinar bercahaya yang akan membolehkan kandungan dipaparkan. Dalam masa yang sama, bahagian yang tidak mempunyai paparan akan kekal lutsinar.

Reka bentuk ini kelihatan futuristik dengan keseluruhan paparan lutsinar kecuali bezel yang mengelilingi bahagian tepi. Ia mungkin akan dipelbagaikan lagi seperti menjadikannya sebagai paparan yang rata, boleh dilipat mahupun digulung.

Walaubagaimanapun, masih menjadi tanda tanya bagaimana pengeluar mahu memuatkan komponen penting lain seperti papan litar, bateri, sensor kamera dan banyak lagi. Adakah ia akan mempunyai bezel yang lebih lebar?

Mengenai telefon pintar lutsinar ini, ia mengingatkan kita kepada peranti yang pernah dihasilkan oleh LG pada 2009 iaitu LG GD900. Ia mempunya ciri lutsinar tetapi hanya pada bahagian pad kekunci sahaja.

Samsung tidak asing lagi dalam pembikinan OLED lutsinar kerana sebelum ini mereka sudah mempunyai OLED Signage.

Namun begitu, ini hanya rekaan yang dipatenkan oleh Samsung sahaja dan ia mungkin tidak akan dikomersialkan dalam masa terdekat ataupun akan kekal sebagai paten sahaja.

Sumber: LetsGoDigital