Samsung Mungkin Sedang Bangunkan Telefon Pintar Dengan Kamera 108MP

Persaingan dalam pasaran telefon pintar semakin lama semakin sengit dan tatkala pengguna merasakan prestasi pada setiap penawaran kelihatan hampir sama antara satu dengan yang lain, bahagian kamera mula diberi tumpuan pengeluar.

Seperti yang kita maklum, Samsung dengan kerjasama Xiaomi sedia memperkenalkan sensor 108MP pada Ogos yang lepas dengan dua peranti terawal yang mempersenjatakannya adalah Mi Mix Alpha iaitu sebuah peranti konsep dan Mi CC9 Pro (Xiaomi Mi Note 10).

Kini, desas-desus mula menyatakan gergasi dari Korea Selatan itu sedang bersiap-siap untuk membangunkan telefon pintar dengan kamera 108MP. Ini adalah berdasarkan aplikasi kamera mereka pada sistem One UI 2.0 versi beta. Difahamkan terdapatnya sokongan untuk foto dengan resolusi 12,000 x 9,000, sekaligus menggambarkan kepada penggunaan sensor 108MP.

Perkhabaran lain pula mnenyatakan model yang mungkin menerima kelengkapan tersebut adalah Samsung Galaxy S11. Selain itu, siri itu juga mungkin hadir dengan tiga versi berlainan saiz yang terdiri daripada 6.4 inci, 6.7 inci dan 6.9 inci.

Namun begitu, buat masa sekarang ini hanyalah berdasarkan khabar angina dan untuk itu, kita perlu menunggu pengumuman rasmi daripada pengeluar itu sendiri.

Sumber: UberGizmo