Samsung Mungkin Menggunakan Bateri Buatan Jepun Untuk Galaxy S8

Tahun 2016 merupakan mimpi ngeri bagi Samsung disebabkan isu yang dihadapi oleh bateri Note 7. Syarikat tersebut dilaporkan mengalami kerugian mencecah berbilion USD dan yang lebih teruk, imej syarikat tersebut sebagai gergasi pengeluar telefon pintar dunia tercalar. Tidak dinafikan Note 7 merupakan sebuah telefon pintar yang berprestasi tinggi dan dikeluarkan untuk menyaingi iPhone 7 keluaran Apple tetapi apakan daya, hanya disebabkan masalah bateri yang mudah meletup menjadikan ia liabiliti kepada Samsung.

Untuk tidak mengulangi kesilapan yang lalu, Samsung dikhabarkan sedang mengadakan perbincangan dengan sebuah syarikat dari Jepun dan perbincangan itu adalah mengenai bateri yang bakal diguna pakai pada Galaxy S8. Perbincangan antara Samsung dan Murata Manufacturing itu telah dilaporkan oleh Reuters pada Khamis (2 Februari 2017) yang lepas.

Kapsyen: Kredit Gambar: Android Authority


Selain itu, Samsung juga bakal menjalankan ujian baru yang dikenali sebagai 8-Point Battery Safety Check Test untuk  setiap keluaran telefon pintar pada masa akan datang. Sebelum ini, Samsung menggunakan bateri yang dihasilkan dari dua buah syarikat pengeluar; Samsung SDI iaitu anak syarikat Samsung dan Amperex Technology, syarikat dari China. Jika perbincangan dengan Murata Manufacturing itu berjalan dengan baik, syarikat dari Jepun itu bakal menggantikan Amperex Technology dalam menghasilkan bateri Galaxy S8.

Samsung dan Murata masih belum mengeluarkan apa-apa maklum balas mengenai perkara ini.

Sumber: Reuters, Android Authority