Samsung Mungkin Hadir Dengan Pengecasan Pantas 65W Tidak Lama Lagi

Berdasarkan dokumen pensijilan di Korea Selatan, Samsung kini dilapor sedang membangunkan pengecasan pantas 65W. Sokongan pengecasan pantas dengan nombor model EP-TA865 ini mungkin hadir untuk peranti mercu pada tahun hadapan.

Samsung 65W

Umum mengetahui, Samsung telah meningkatkan kelajuan pengecasan dalam beberapa tahun ini. Pada masa ini, kebanyakan telefon Samsung didatangkan dengan sokongan pengecasan 25W. Namun, hanya beberapa peranti Samsung yang menyokong pengecasan pantas 45W dengan nombor model EP-TA845.

Berdasarkan nombor model tersebut, berkemungkinan pengecasan dengan nombor model EP-TA865 ini akan mempunyai sokongan pengecasan 65W. Bagaimanapun, tiada pengesahan maklumat teknikal mengenai pengecas itu dalam dokumen tersebut.

Terdahulu, pengeluar seperti realme dan OPPO telah pun memperlihatkan teknologi pengecasan pantas 125W pada Julai lalu. OnePlus baru-baru ini juga telah mengumumkan OnePlus 8T yang akan dilancarkan pada 14 Oktober nanti bakal hadir dengan sokongan pengecasan Warp Charge 65.

Sumber: Galaxy Club via Android Authority