Samsung Mungkin Guna Cip 5G Dari MediaTek Untuk Kelas Pertengahan

Bila memperkatakan tentang cip pemproses yang ditawarkan pada peranti mudah alih, rata-rata lebih terarah kepada cip keluaran Qualcomm, Apple dan Huawei. Nama MediaTek kerap kali dipinggirkan oleh kerana keupayaan cip terdahulu yang tidak begitu baik dari segi prestasi.

Namun sejak memperkenalkan Helio G90 dan G90T, ia berjaya mengubah persepsi pengguna terhadap cip pemprosesan MediaTek. Bergerak kehadapan, pengeluar berpengkalan di Taiwan itu bakal menggandakan usaha kearah pembangunan penyelesaian 5G.

Menggarap laporan daripada China Times, pengeluar telefon pintar nombor satu dunia, Samsung mungkin menggunakan cip pemproses MediaTek 5G pada peranti mereka. Dua cip yang disebutkan adalah MT6885 serta MT6873 dan ia juga dijangka tampil pada peranti kelas pertengahan Huawei. Ini dilihat sebagai langkah Samsung dalam mempersiapkan barisan peranti 5G untuk kelas pertengahan seperti siri A dan M yang lebih mampu milik.

Samsung sedia membangunkan cip pemproses yang menyokong 5G, namun ia mungkin digunakan pada peranti flagship mereka akan datang seperti siri Galaxy S11 dan Galaxy Fold 2.

MediaTek Dimensity 1000

Terdahulu, MediaTek sedia melancarkan cip Dimensity 1000 yang diintegrasikan dengan 5G NR (Sub-6GHz). Ia memberikan kepantasan muat turun sehingga 4.7Gbps serta muat naik 2.5Gbps melalui rangkaian sub-6Ghz.

Sumber: China Times