Samsung Mulakan Pengeluaran 16GB LPDDR5 DRAM Bagi Peranti Kelas Flagship

Umum tahu, Samsung Electronics merupakan  jenama terkenal yang popular bagi produk elektronik seperti peralatan rumah dan telefon pintar. Bagaimanapun, ramai yang tidak tahu bahawa syarikat gergasi ini merupakan peneraju utama dalam teknologi pembuatan memori. Samsung hari ini mengumumkan akan memulakan pengeluaran 16GB LPDDR5 DRAM bagi telefon pintar.

Syarikat gergasi Korea Selatan ini juga merupakan yang pertama di dunia menghasilkan DRAM seperti itu. Berikutan pengeluaran  12GB LPDDR5 pada Julai tahun lalu, Samsung kini mengeluarkan 16GB LPDDR5 yang pertama didunia.

Memori tambahan ini dibuat untuk menyediakan lebih banyak teknologi lain seperti rangkaian 5G, Kecerdasan Buatan (AI), permainan telefon pintar yang intensif, dan fotografi yang lebih berkuasa.

Samsung 16GB LPDDR5 DRAM

Kadar pemindahan data bagi memori 16GB LPDDR5 adalah 5,500MB/s, iaitu 1.3 kali ganda lebih laju berbanding memori LPDDR4X. Dari segi kecekapan tenaga, memori generasi terbaru ini mampu menambah 20 peratus penjimatan tenaga berbanding memori 8GB LPDDR4X dengan menawarkan dua kali ganda keupayaan.

Selain itu, memori ini dilengkapi dengan 8 cip 12Gb dan 4 cip 8Gb. Samsung juga mendakwa peningkatan kelajuan pemindahan data akan membolehkan permainan dengan grafik yang tinggi dimainkan dengan resolusi tinggi dan kadar frame yang lebih stabil.

Dalam pada itu, syarikat tersebut juga merancang untuk mengeluarkan generasi ketiga cip DRAM 10nm bermula separuh kedua tahun ini, dengan pembangunan cipset 6,400MB/s.

Sumber: GizmoChina via Samsung Newsroom