Samsung Mengacah Rekaan Peranti Dua Kali Lipat Dan Skrin Boleh Gulung

Samsung Electronics merupakan antara syarikat terawal di dunia yang melancarkan telefon boleh lipat secara komersial. Terbaru, syarikat itu telah mengacah dua rekaan peranti, yang mempunyai dua kali lipatan serta paparan boleh gulung.

Samsung telefon dua kali lipat

Gergasi teknologi Korea Selatan itu hanya memperlihatkan rekaan sebagai konsep buat masa ini. Oleh itu, tidak dapat dipastikan jika Samsung akan menghasilkan peranti seperti itu atau sebaliknya.

Walaupun begitu, Samsung sebelumnya telah mempatenkan telefon dengan dua kali lipatan berbentuk 'Z'. Jadi, dengan adanya konsep rekaan ini, kemungkinan mereka akan menghasilkan telefon dengan dua kali lipatan. Atau sekurang-kurangnya Samsung akan mempertimbangkan mengenainya.

Dalam pada itu, Samsung turut mengacah peranti dengan skrin boleh gulung. Produk ini pada dasarnya mempunyai binaan silinder memanjang, yang menempatkan paparan bergulung fleksibel yang boleh dilepaskan.

Samsung telefon dua kali lipat

Gambar yang dikongsi oleh syarikat itu menunjukkan bahawa produk tersebut cenderung ditujukan kepada golongan profesional dan lain-lain yang memerlukan peranti mudah alih dengan paparan lebih besar.

Bagaimanapun, tiada maklumat tambahan mengenai peranti ini. Akan tetapi, ini menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya Samsung mempunyai rekaan inovatif seperti itu dan kita mungkin dapat melihatnya pada masa akan datang.

Sumber: Sina via GizmoChina