Samsung Menafikan Dakwaan Mengurangkan Prestasi Telefon Model Lama

Baru-baru ini, pihak berkuasa anti monopoli (AGCM) dari Itali mendakwa Apple dan Samsung sengaja memperlahankan telefon pintar model lama menerusi kemaskini perisian.

Perkara itu telah diumumkan oleh badan undang-undang pengguna tersebut pada 18 Januari lepas, dan pada hari yang berikutnya, 19 Januari, Samsung telah mengeluarkan kenyataan menafikan perkara tersebut.

"Samsung tidak menyediakan kemaskini perisian yang boleh mengurangkan prestasi telefon pintar sepanjang kitaran hayat peranti. Kami akan memberi kerjasama penuh kepada Pihak Berkuasa Pasaran dan Persaingan Itali untuk memperjelaskan perkara itu." jelas Samsung pada Jumaat lepas.

Ini merupakan kali pertama Samsung dilanda dengan tuduhan sedemikian dan ia mungkin merencatkan sedikit pelancaran Samsung Galaxy S9 yang diramalkan berlangsung bulan hadapan.

Sumber: Nikkei Asian Review