Samsung Memperlihatkan " The Wall", TV Berukuran 146 Inci

CES merupakan antara acara teknologi tahunan terbesar yang menghidangkan pelbagai produk dari teknologi kereta pandu sendiri hinggalah kepada peralatan elektronik seperti TV.

Untuk edisi 2018, Samsung telah memperkenalkan TV bersaiz besar dengan rekaan bingkai nipis dipanggil sebagai The Wall.

TV berukuran 146 inci itu menggunapakai teknologi paparan baru dikenali sebagai MicroLED yang berupaya menyalurkan paparan yang lebih terang dan kontras yang lebih baik, terutama sekali ketika menonton kandungan HDR.



The Wall merupakan sebuah TV berasaskan rekaan modular yang mana saiznya boleh diubah-ubah mengikut kehendak pengguna.

Teknologi paparan TV saban tahun semakin berkembang dengan penawaran paparan yang lebih bermutu tinggi, dimulakan dengan LED, OLED, Quantum Dots dan terkini MicroLED.

Turut sama dipertontonkan adalah cip berteknologi AI yang boleh menaik taraf kandungan 480p kepada kandungan yang hampir kepada resolusi 8K.

Dalam bahasa mudahnya, cip AI tersebut akan memperbetulkan perincian paparan, mengurangkan kadar gangguan pada imej, dan mempertajamkan lagi sisi objek serta teks yang dipaparkan.



Sumber: Samsung