Samsung Melancarkan Samsung Galaxy S8 Dan S8 Plus [Spesifikasi]

Hari ini Samsung Mobile dengan rasminya melancarkan dua telefon pintar 'flagship' yang ditunggu-tunggu untuk tahun ini. Selepas insiden Note 7 terbakar, Samsung dilihat akan cuba menguasai kembali pegangan mereka dalam pasaran telefon pintar.

Perubahan ketara yang boleh dilihat dalam telefon pintar terbaru mereka ialah paparan yang dipanggil 'infinity display'. Dengan paparan yang hampir tiada sempadan mengurangkan dagu dan dahi telefon tersebut. Butang 'home' juga dibuang dan digantikan butang yang sensitif dengan sentuhan di skrin., teknologi yang sama digunakan oleh Xiaomi dalam telefon mereka, Xiaomi Mi Mix.

Samsung juga telah mendakwa paparan telefon mereka diiktiraf sebagai 'Mobile HDR Premium' oleh UHD Alliance, pertama di dunia. Mobile HDR Premium ialah standard industri untuk paparan mobil bersamaan dengan paparan standard untuk TV 4K. S8 dan S8 Plus hadir dengan skrin beresolusi 2960 x 1440 piksel. Skrin Samsung Galaxy S8 berukuran 5.8 inci dan S8 Plus berukuran 6.2 inci.

Galaxy S8 dan S8 Plus dilengkapi cip pemprosesan Snapdragon 835 untuk pasaran US dan Exynos 8895 untuk pasaran antarabangsa. Kedua-dua versi akan menggunakan cip grafik Adreno 540. S8 dan S8 Plus mempunyai ruang penyimpanan sebanyak 64 GB dan ruang memori sebanyak 4 GB.

Untuk kamera pula, kamera belakang untuk kedua-dua variasi telefon dilengkapi dengan kamera 12 MP dengan penstabil optik dan juga apperture f 1.7. Kamera depan pula dilengkapi dengan kamera 8 MP untuk kedua-dua variasi. Samsung memasukkan 'multi-frame processor', perisisan yang menggabungkan beberapa gambar menjadi satu untuk memperbaiki kualiti gambar yang diambil. Kaedah yang agak sama jika dibandingkan dengan telefon pintar yang mempunyai kamera 'dual' di belakang seperti Huawei P10. Pengimbas iris juga disertakan untuk telefon pintar kali ini selepas kali terakhir digunakan oleh Samsung Note 7. Pengimbas cap jari pula diletakkan di belakang telefon pintar mereka.

Bateri pula menyaksikan Samsung Galaxy S8 berkapasiti sebanyak 3000 mAh dan S8 Plus berkapasiti 3500 mAh. Samsung mendakwa mereka mengambil perhatian lebih berat untuk bahagian bateri selepas insiden bateri Note 7 terbakar tahun lepas. Seperti Galaxy S7, S8 dan S8 Plus boleh dicaj tanpa menggunakan wayar, kalis air dan habuk.

Galaxy S8 dan S8 Plus akan hadir dengan 5 warna, 'Midnight Black', 'Artic Silver', 'Maple Gold', 'Coral Blue' dan 'Orchid Gray' dengan harga pasaran dijangka berharga RM 3,400 untuk S8 dan RM 3,800 untuk S8 Plus. Telefon ini akan mula dijual bermula 21 April. Setiap pembelian akan disertakan sekali 'earphone' AKG buatan Harman secara percuma.

Sumber