Samsung Malaysia Perkenal 4 Model Baharu, Harga Dari RM1299

Penghujung bulan Januari 2020 semalam, Samsung Malaysia dengan rasminya memulakan pengenalan kepada 4 model telefon pintar untuk pasaran tempatan.

Model-model tersebut adalah Galaxy S10 Lite, Galaxy Note 10 Lite, Galaxy A71 dan Galaxy A51. Spesifikasi yang ditawarkan adalah seperti berikut;

Samsung Galaxy S10 Lite (RM2699)




Dari keempat-empat model yang diperkenalkan ini, Galaxy S10 Lite membawakan spesifikasi sedikit tinggi dengan Snapdragon 855. Ia digandingkan dengan RAM 8GB serta storan 128GB dan mempunyai sokongan memori tambahan menerusi kad MikroSD.

Bahagian kamera pula terdapat tiga kamera iaitu 48MP lebar, 12MP ultra lebar dan 5MP makro. Sementara lubang pada tengah paparan hadapan diletakkan dengan kamera selfie 32MP.



Skrin paparan yang digunakan adalah Super AMOLED dengan ukuran 6.7 inci turut disertakan bersama ciri imbasan cap jari padanya. Port pengecasan USB C disediakan untuk mengecas bateri 4500mAh dan menyokong pengecasan pantas 25W.

Peranti ini akan dijual pada harga RM2699 dan anda akan menerima Galaxy Fit berharga RM369 bagi belian secara pra-tempah. Anda boleh memilih tiga warna iaitu Prism Black, Prism White dan Prism Blue.

Samsung Galaxy Note 10 Lite (RM2299)




Tampil dengan paparan berlubang ditengah, ia menempatkan kamera selfie 32MP. Menggunapakai paparan Super AMOLED, ia berukuran 6.7 inci. Bahagian belakang pula diletakkan dengan kamera lebar 12MP, 12MP ultra lebar dan 12MP makro.

Konfigurasi memori yang disediakan adalah RAM 8GB, storan 128GB dengan sokongan kad MikroSD sehingga 1TB. Menguasakan peranti adalah cip pemproses Exynos 9810.

Galaxy Note 10 Lite didatangkan dengan port pengecasan USB C untuk menjana peranti berkapasiti 4500mAh. Turut dilengkapkan adalah bicu audio 3.5mm dan S-Pen.



Harga jualan peranti ini adalah RM2299 dengan pilihan warna Aura Glow, Aura Black dan Aura Red. Belian secara pra-tempah akan menerima Galaxy Fit bernilai RM369.

Samsung Galaxy A71 (RM1799)




Dalam pengenalan kali ini, dua siri A telah diperkenalkan dan salah satunya adalah Galaxy A71. Ia membawakan skrin paparan super AMOLED 6.7 inci. Rakaman bahagian hadapan digalas oleh kamera 32MP. Sistem kuad kamera bertugas dibahagian belakang yang dibarisi kamera utama 64MP, 12MP lebar, 5MP depth dan 5MP makro.



Mengoperasikan peranti adalah cip pemproses Snapdragon 730 berpasangan dengan RAM 8GB dan 128GB. Ia juga mempunyai sokongan kad MikroSD. Kapasiti bateri 4500mAh dibekalkan dengan sokongan pengecasan pantas 25W.

Harga yang diletakkan pada peranti ini adalah RM 1799 bersama tiga pilihan warna, Prism Crush Black, Prism Crush White dan Prism Crush Blue. Pembelian secara pra-tempah melayakkan anda menerima lanjutan 1 tahun perlindungan RM119 dan 1x kali perlindungan skrin.

Samsung Galaxy A51 (RM1299)




Peranti terakhir ini pula hadir dengan skrin paparan Super AMOLED 6.5 inci. Galaxy A51 dipersenjatakan dengan cip pemproses Exynos 9611. Ia ditemani dengan memori RAM 6GB dan storan 128GB serta sokongan kad MikroSD.



Rakaman selfie anda akan menggunakan kamera 32MP sementara rakaman belakang pula diberikan kepada empat lensa kamera. Ia terdiri daripada kamera 48MP, 12MP lebar, 5MP depth, dan 5MP makro. Bateri yang diberikan juga sedikit rendah kapasitinya iaitu 4000mAh.

Bagi sistem sekuriti biometrik, ia menyediakan imbasan cap jari pada paparan dan imbasan wajah.

Peranti ini akan dijual pada harga RM1299 dengan pra-tempah menghidangkan lanjutan 1 tahun perlindungan RM185 dan 1x perlindungan skrin.

Pra-tempah bagi kesemua peranti akan dibuka pada 3 Februari ini manakala jualan pula dimulakan pada 7 Februari 2020.