Samsung Mahu Patenkan Reka Bentuk Takuk Pada Telefon Pintar Mereka

Syarikat pengeluar produk teknologi terkenal dari Korea Selatan, Samsung melalui anak syarikatnya Samsung Mobile telah menghantar permohonan untuk mempatenkan satu reka bentuk untuk peranti telefon pintar mereka ke SIPO, sebuah syarikat paten China. Dan pada rekaan reka bentuk yang telah dihantar itu, dapat dilihat bahawa ia mempunyai takuk pada bahagian atas paparan hadapannya.



Apa yang menarik berkenaan perkara ini ialah pihak Samsung pada satu ketika dulu pernah mempersoalkan reka bentuk takuk yang digunakan oleh Apple iPhone X. Mereka mendakwa reka bentuk ini akan mengganggu paparan skrin peranti dan akan membuatkan pengguna rasa kurang selesa ketika menggunakan telefon pintar.

Pengguna telefon pintar global kini mula berasa kurang enak dengan lambakan pengeluar telefon pintar yang menggunakan reka bentuk takuk pada peranti mereka. Tidak salah bagi mereka untuk menyatakan bahawa kebanyakkan pengeluar ini mengambil jalan mudah untuk mengikut reka bentuk yang pertama kali diperkenalkan oleh syarikat Apple Inc sebelum ini.



Melalui reka bentuk yang pertama kali dipertontonkan oleh blog telefon Belanda, Mobielkopen itu juga dapat dilihat pada bahagian belakang peranti tersebut juga terdapat garisan melintang yang menyerupai reka bentuk iPhone 6. Namun, walaupun reka bentuk ini akan dipatenkan oleh pihak Samsung, ia tidak bermakna Samsung semestinya akan mengeluarkan peranti yang menggunakan reka bentuk yang sama.

Sumber