Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

Samsung Lancar 2 Produk Usaha Sama Harman Kardon

Posted on September 28, 2018
PETALING JAYA, 27 Sept (Bernama) — Samsung Malaysia Electronics (Samsung) hari ini melancarkan dua produk audio ‘soundbar’ premium baharu, model HW-N950 dan HW-N850, yang dicipta dengan kerjasama Harman Kardon, sebuah jenama audio yang terkenal.

Tersedia di pasaran sejak awal September tahun ini, produk soundbar tersebut menampilkan logo Samsung dan Harman Kardon, mewakili kerjasama yang dimeterai kedua-dua pihak baru-baru ini.

Kedua-dua model produk soundbar itu dilengkapi teknologi Dolby Atmos dan DTS:X yang boleh membuatkan pengguna akan merasa seperti di teater.

Samsung dalam kenyataannya berkata kedua-dua syarikat mula bekerjasama berikutan pengambilalihan Harman International pada Mac 2017.

Kerjasama menyasarkan segmen produk mudah alih dan penyelesaian profesional untuk pawagam. Soundbar model HW-N950 dan HW-N850 merupakan hasil pertama kerjasama tersebut dalam menembusi kategori premium.

Harga runcit untuk HW-N950 adalah RM6,499 manakala HW-N850 berharga RM4,999.

Turut dipratonton di sesi media hari ini adalah  televisyen (TV) QLED Samsung terbaharu yang dilancarkannya pada 31 Mei tahun ini.

“Ciri utama TV QLED ialah QPicture, QStyle, QSmart dan QLifespan dan ia turut menawarkan ciri penjimatan tenaga skrin Magic yang menarik dan berbeza.

“Apabila TV ini tidak digunakan, anda boleh menggunakan mod skrin Magic untuk meniru corak di dinding belakang supaya ia kelihatan seolah-olah bergabung dengan dinding terbabit serta boleh juga digunakan untuk memaparkan foto,” kata Ketua Bahagian Audio Visual Samsung, Vincent Lee.

Harga TV QLED bermula dari RM8,489 hingga RM34,904 untuk saiz 55 inci hingga 75 inci.

— BERNAMA

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2025 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress