Reaksi Awal Samsung Galaxy Watch3: Rekaan Premium, Saiz Lebih Kecil Dan Ringan

Samsung Galaxy Watch3 telah diperkenalkan pada awal Ogos lalu dan merupakan generasi baharu dalam siri Galaxy Watch. Di Malaysia, jam pintar ini ditawarkan dengan harga bermula RM1,699.

Terdapat dua varian Galaxy Watch3 iaitu model 45mm dan 41mm. Unit yang kami terima adalah dari model 41mm dengan warna Mystic Bronze. Ikuti bingkisan di bawah ini untuk mengetahui reaksi awal mengenai Galaxy Watch3.

Buka Kotak


reaksi galaxy watch3

  • Samsung Galaxy Watch3 41mm

  • Kabel pengecasan

  • Manual pengguna


Rekaan




Unit Galaxy Watch3 yang kami terima adalah warna Mystic Bronze dan merupakan salah satu dari 2 pilihan warna yang ditawarkan selain Mystic Silver. Pada pandangan kami, warna Mystic Bronze ini adalah lebih sesuai dipakai oleh wanita.

Melihat pada rekaan, jam pintar ini adalah 14% lebih nipis, 8% lebih kecil serta 15% lebih ringan berbanding model terdahulu. Ia juga kelihatan klasik dan lebih premium. Galaxy Watch3 didatangkan semula dengan rotating bezel atau bezel yang boleh diputar.

reaksi galaxy watch3

Di bahagian sisi kanan jam pintar ini dimuatkan dengan satu mikrofon serta dua butang fizikal iaitu butang Back dan Home. Bahagian kiri dibiarkan kosong tanpa sebarang butang.



Tali jam pula adalah dari jenis Premium Leather Genuine dengan warna Bronze. Terdapat spring bar yang boleh digunakan untuk menanggalkan tali dengan lebih mudah tanpa memerlukan sebarang peralatan khusus.

Spesifikasi


Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Galaxy Watch3 didatangkan dengan dua variasi iaitu 1.2 inci bagi model 41mm sementara 45mm pula menawarkan skrin 1.4 inci. Binaan jam pintar ini pula adalah dari jenis keluli tahan karat.



Paparan yang digunakan pada Galaxy Watch3 adalah dari jenis Super AMOLED dengan perlindungan Corning Gorilla Glass DX. Dengan jenis skrin yang digunakan, paparan masih jelas walaupun berada di bawah cahaya matahari.

Dari segi ruang simpanan, jam pintar ini dimuatkan dengan RAM 1GB serta storan 8GB. Cip pemproses pula menampilkan Exynos 9110 dua teras (1.15GHz) dan menjalankan Tizen OS.

Galaxy Watch3 mempunyai keserasian sambungan dengan peranti Android dan juga iOS melalui aplikasi Samsung Galaxy. Bagaimanapun, terdapat beberapa kelebihan apabila disambungkan dengan peranti Samsung. Dari segi ketahanan, ia menyokong penarafan kalis air 5ATM.

reaksi galaxy watch3

Terdapat pelbagai jenis antaramuka jam yang boleh disesuaikan pada Galaxy Watch3. Antara yang dimuatkan pada jam pintar ini adalah bezel yang boleh diputar, VO2 max, Sp02, Sleep Score, Women Health serta pemantauan degup jantung.

Ia juga dilengkapi dengan lebih daripada 120 program dan 41 jenis workout seperti yoga, mendaki, lari dan sebagainya. Jam pintar ini juga boleh digunakan untuk melihat dan membalas mesej, membuat dan menjawab panggilan, memainkan muzik dan sebagainya.

Janaan kuasa dibekalkan dengan kapasiti bateri 247mAh (41mm) dan 340mAh (45mm). Menurut Samsung, penggunaan biasa jam ini boleh bertahan sehingga 1.5 hari. Sementara penggunaan dengan mod power saving boleh bertahan sehingga 3.5 hari.

Kesimpulan


reaksi galaxy watch3

Secara keseluruhan, untuk sebuah jam pintar dengan harga yang ditawarkan, anda mungkin boleh mendapatkan jam pintar lebih murah yang ada di pasaran ketika ini. Namun, jika anda inginkan sebuah jam pintar dengan rekaan yang klasik dan premium, ianya adalah berbaloi untuk dibeli.

Jika anda ingin mengetahui lebih lanjut mengenai prestasi, kemampuan, dan lain-lain yang ditawarkan pada Galaxy Watch3, nantikan ulasan video yang akan disiarkan tidak lama lagi.