Samsung Galaxy Tab S4 Bakal Dilancarkan September Ini

Internationale Funkausstellung atau IFA 2018 akan berlansung bermula dari 31 Ogos hingga 5 September ini. Ia merupakan satu ekspo bagi barangan elektronik dan peralatan rumah utama dunia di mana syarikat pengeluar utama akan berhimpun dan memperkenalkan produk-produk mereka kepada dunia.


Antara yang telah mengesahkan penyertaan mereka pada IFA kali ini ialah syarikat Samsung. Mereka sebelum ini dilaporkan akan melancarkan peranti premium terbaru mereka, Samsung Galaxy Note 9 pada acara berkenaan nanti.

Namun, ia bukanlah satu-satunya peranti yang akan diperkenalkan oleh Samsung semasa acara itu. Menurut laporan terkini, mereka turut dikatakan akan mengumumkan pelancaran peranti Samsung Galaxy Tab S4 pada IFA 2018 yang akan diadakan di Berlin.


Kredit : Android Headlines


Imej di atas adalah merupakan imej peranti berkenaan menurut laporan Android Headlines. Melihat kepada reka bentuknya, tiada sebarang panel pengimbas cap jari didapati pada peranti sekaligus memberi kemungkinan bahawa peranti ini akan mempunyai pengimbas cap jari di dalam skrin atau tidak mempunyai sistem pengimbasan cap jari sama sekali.

Galaxy Tab S4 ini dilaporkan akan mempunyai skrin sebesar 10.5 inci, dan sekiranya ia benar, maka peranti ini akan mempunyai paparan yang lebih luas berbanding Galaxy Tab S3 yang menggunakan skrin bersaiz 9.7 inci. Galaxy Tab S3 sebelum ini telah dilancarkan buat pertama kali pada bulan Mac 2017 di US.

Peranti ini dijangka akan menggunakan cip pemprosesan Snapdragon 835, memori 4GB RAM dan storan dalaman 64GB. Dari segi bateri pula, Galaxy Tab S4 bakal disokong oleh bateri berkapasiti 7,300 mAh. Tambahan pula, ia turut memiliki kamera utama 13MP dan kamera hadapan 8MP selain menggunakan sistem operasi Android 8.1 Oreo.

Tiada sebarang maklumat berkenaan harga bagi Galaxy Tab S4 ini boleh didapati setakat ini. Bagaimanapun, peranti ini dilaporkan akan hadir dengan dua pilihan warna iaitu Hitam dan Kelabu. Samsung dijangka akan mengeluarkan kenyataan rasmi berkenaan perkara ini dalam masa terdekat.

Sumber